Friday 4 April 2014

Recep Tayyip Erdoğan

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Alhamdulillah, segala pujian hanya berhak bagi Allah, Yang Memiliki Hari Pembalasan. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, Ummahatul Mu'minin, serta para sahabat baginda sekaliannya.

Alhamdulillah kita masih diberi ni'mat oleh Allah S.W.T untuk terus merasai kehidupan dunia. Mudah-mudahan dengan nikmat yang masih diberikan olehNya akan menjadikan kita  hamba yang bersyukur. Disamping kita masih lagi mengharapkan pertolongan Allah ke atas tragedi pesawat MAS MH370 walaupun berita buruk mengenainya telahpun diumumkan. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan berita yang mendukacitakan kita apabila mahkamah Mesir telah menjatuhkan hukuman mati  ke atas 529 orang pemimpin dan pengikut Ikhwanul Muslimin atas alasan yang memang sudah dijangka. Moga Allah tempatkan mereka bersama para syuhada' dan memberikan kekuatan kesabaran pada keluarga mereka. 

Tahun ini merupakan tahun yang bersejarah bagi seorang pelajar yang lemah seperti saya. Mana tidaknya, tahun ini saya bakal merasai Pilihanraya Perandaran Turki buat kali pertama dalam hidup saya. Namun setiap kali saya ingin menulis mengenai Turki, saya tidak dapat lupakan seorang insan yang amat bermakna dalam hidup saya iaitu abang saya Allahyarham Ahmad Ammar. Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama ahli-ahli syurga. Di saat menikmati musim bunga di Kota Istanbul, bahang Pilihanraya semakin terasa dengan kempen-kempen parti-parti politik di Turki yang telah melibatkan semua lapisan masyarakat di Turki. Semalam merupakan hari terakhir untuk parti-parti politik berkempen dengan menerangkan maifesto serta janji-janji manis mereka, penuh kebebasan samada dari parti kerajaan mahupun parti-parti pembangkang. 

Oleh itu, saya bertekad untuk menulis sebuah catatan ringkas mengenai seorang tokoh pemimpin di Turki yang masih berkuasa sebagai Orang nombor satu. Beliau tidak lain tidak bukan ialah Recep Tayyip Erdoğan. Siapa tidak kenal sosok yang semakin meningkat nama di persada antarabangsa pada hari ini? Apapun, saya tidak akan terangkan mengenai peribadi penuh beliau, cuma ia hanya lebih berbentuk pandangan peribadi saya terhadap kepimpinan beliau dari beberapa sudut. Beliau pada hari ini semakin menjadi perbualan,perdebatan dan tidak terlepas juga dari kritikan dunia baik daripada kumpulan yang memang dilihat sentiasa menyanjung tinggi beliau sebagai penyelamat dunia Islam, mahupun musuh-musuh beliau yang sentiasa mencari peluang untuk membuktikan beliau sebagai seorang diktator. Namun kata kuncinya ialah beliau semakin menjadi tajuk utama kedua-dua pihak ini. 


Perdana Menteri Turki,
Recep Tayyip
 ERDOĞAN

Untuk menulis mengenai beliau, saya terpaksa membaca, menonton, mencari, bertanya dari pangkat ahli politik yang saya kenal atau yang saya diperkenalkan sehinggalah rakyat biasa. Ia amatlah sukar kerana anda akan terpaksa menyelami diri serta berfikir bagaimana sebagai seorang ahli politik menilai beliau, anda terpaksa menyelami fikiran seorang ahli korporat, tentera, ahli bisnes, rakyat miskin, orang jemaah, dan yang paling penting ialah menyelami pandangan musuh-musuh beliau baik dari dalam dan luar Turki terhadap beliau. Namun sebelum memulakan catatan ini, saya berlepas diri dari segala sikap fanatik, ta'asub yang melampau dan lain-lain yang seumpama dengannya. Selain itu, dalam catatan saya ini, saya akan bahasakan beliau sebagai Tayyip (bukan Erdoğan) kerana rakan-rakan rapat beliau juga sering menggunakan nama itu bilamana merujuk kepada beliau.

Tayyip telah dibesarkan oleh keluarga yang cukup sederhana serta menikmati kehidupan kampung yang amat jauh dari kekayaan di daerah Kasımpaşa. Oleh sebab itu, beliau tidak pernah kekok apabila bertemu masyarakat di kampung-kampung kerana memang beliau telah dibiasakan dari kecil dengan suasana demikian. Beliau antara beberapa pemimpin dunia yang memiliki pendidikan asas agama memandangkan beliau merupakan lepasan Imam Hatip (boleh juga dikategorikan sebagai sekolah agama di Turki) dan kemudian meneruskan pengajiannya dalam fakulti ekonomi dan pentabiran di  Sekolah Ekonomi dan Sains Komersial Aksaray, yang kini dinamakan sebagai Universiti Marmara. Beliau dan mentornya yang juga pernah memegang tampuk kuasa di Turki dalam tempoh tidak sampai setahun akibat digulingkan oleh tentera, Al-Marhum Prof Dr. Necmettin Erbakan ialah antara beberapa graduan lepasan Imam Hatip yang kemudiannya terjun dalam dunia politik. Dr. Necmettin menjadikan Tayyip seperti anak emas beliau sewaktu bersama dalam Refah Partisi. Tidak ketinggalan, Presiden Turki sekarang, Abdullah Gül, Bülent Arınç serta beberapa pemimpin lain turut bersama pada waktu itu. Mereka telah berjaya membentuk kerajaan pada tahun 1997. Namun oleh kerana Dr. Erbakan seorang pemimpin yang agak radikal, tegas, jelas dengan agenda islamnya di Turki, disamping ekonomi Turki masih kacau bilau, maka dalam tempoh 9 bulan, beliau dan kerajaannya telah digulingkan oleh tentera. Beberapa bulan kemudian kemudian, Tayyip telah dituduh menanamkan kebencian dalam beragama pada 1998 berikutan mengubahsuai sajak nukilan Ziya Gokalp 1913. Oleh itu bekas Datuk Bandar Istanbul antara tahun 1994 hingga 1998 ini telah dipenjarakan selama 10 bulan.

Dr. Necmettin ERBAKAN

Tayyip ketika masih bersama dengan Erbakan
Tayyip sewaktu dalam tahanan selama 10 bulan


Pilihan raya umum Turki pada 3 November 2002 merupakan kali pertama Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalet ve Kalkınma Partisi, AK Parti) diterajui Tayyip. AK Parti menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kelemahan ekonomi tradisional, gempa bumi 1999 dan isu-isu besar lain. AK Parti juga pada mulanya agak berhati-hati dalam usaha ingin memperkenalkan agenda Islam kerana dimbimbangi tentera akan melakukan tindakan serupa seperti mana rampasan kuasa ke atas Dr. Erbakan. Pada Pilihan raya tersebut (2002), AK Parti telah berjaya meraih 34.3% undi tetapi Tayyip dihalang menjadi Perdana Menteri kerana pelbagai 'kesalahan' sebelum ini termasuk mengubahsuai sajak Ziyad Gokalp 1913. Sebaliknya Abdullah Gül menjadi Perdana Menteri sehingga Tayyip layak bertanding pilihan raya kecil pada 2003 dan menjadi ahli parlimen. Abdullah Gul kemudian memberi 'lorong' kepada Tayyip, dan dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Presiden Turki ketika itu, Ahmet Necdet Sezer .Pada Pilihan raya umum Turki 2007, Tayyip dan AK Parti mengekalkan kuasa dengan memenangi 46.7% undi popular, kali kedua AK Parti menang dengan undi lebih besar. Pada Pilihan raya umum Jun 2011 pula, mereka menang lebih besar lagi dengan 49.8% undi. 
AK Parti, parti terkuat setakat ini yang telah berjaya
 memenangi semua Pilihanraya umum sejak ia ditubuhkan

Presiden Turki,
Abdullah
 GÜL


APA YANG TAYYIP BUAT PADA AWAL 10 TAHUN? MENGAPA SAYA KAGUM PADA BELIAU ?

Jelas sekali bahawa, Tayyip telah membawa banyak perubahan drastik sejak menerajui Turki 10 tahun yang lalu. Di sini kita akan dapat lihat beberapa kejayaan besar beliau dari beberapa sudut yang mana agak mustahil untuk pemimpin-pemimpin lain lakukan dalam negara yang sedang runtuh segala-galanya (antara pemerintahan selepas Erbakan dan sebelum Tayyip).


1. EKONOMI

-Menguatkuasakan dasar makro ekonomi. Tayyip cuba untuk menarik lebih ramai pelabur asing ke Turki  dan mengangkat banyak peraturan-peraturan kerajaan.

-Aliran tunai panas (hot cash flow) ke dalam ekonomi Turki antara 2002-2012 menyebabkan pertumbuhan  64% dalam KDNK (real growth) dan peningkatan 43% dalam KDNK per kapita yang jauh lebih rendah  daripada biasa. Oleh itu, pertumbuhan tahunan purata KDNK per kapita adalah yang sebenar 3.6% , yang  dijangka untuk ekonomi membangun yang untuk keluar dari krisis kewangan.

-Kedudukan ekonomi Turki dari segi KDNK berubah dari 17 sahaja kepada 16 dalam dekad ini . Kesan  sampingan yang utama dasar-dasar antara 2002-2012 ialah telah melebarnya defisit akaun semasa daripada  600 juta USD kepada 48 bilion USD. 

-Pertumbuhan KDNK antara 2002-2012 adalah lebih tinggi daripada berbanding negara-negara maju ,        tetapi ia hampir kepada purata apabila negara-negara membangun diambil kira.

-Sejak tahun 1961, Turki telah menandatangani 19 perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Kerajaan telah memenuhi keperluan belanjawan dan pasaran mengikut tempoh dan kadar yang ditetapkan  serta menerima setiap ansuran pinjaman , belum pernah wujud mana-mana kerajaan yang pernah berbuat  demikian. Saat Tayyip mula menduduki kerusi Perdana Menteri pada hari pertama, negara sedang mewarisi  hutang $ 23.5 billion dari IMF, kemudian telah dikurangkan kepada $ 0.9 bilion pada tahun 2012. Beliau  memutuskan untuk tidak lagi menandatangani perjanjian baru. Hutang Turki dengan IMF telah diisytiharkan  langsai dan dibayar sepenuhnya. Beliau mengumumkan bahawa IMF boleh meminjam dari Turki

-Pada tahun 2002 , Bank Pusat Turki hanya memiliki $ 26.5 billion dalam rizab. Jumlah ini berganda    sehingga mencapai $ 92.2 billion pada tahun 2011.

-Pada tahun 2010, Lima tahun 'credit default swaps' hutang kerajaan Turki telah diniagakan pada rekod  yang rendah 1.17% , termasuk di bawah mereka terdiri daripada sembilan  negara anggota Kesatuan  Eropah (EU) dan Rusia. Kadar pengangguran menurun daripada 10.3% kepada 9.7% pada tahun 2007 .  Namun akibat krisis ekonomi global tahun 2008, kadar pengangguran Turki melonjak kepada rekod yang  tinggi sebanyak 16.1% dalam tempoh Januari-Mac tahun 2009. Dalam tempoh April- Jun 2010, kadar  pengangguran mula menurun semula kepada 11.0 %, berbanding dengan 10.0% dalam zon euro. Pada Mei  2012, kadar pengangguran di Turki turun lagi kepada 8.2 peratus, ia adalah rekod paras terendah sejak 10  tahun lalu.

-Kadar inflasi menurun daripada 70% kepada 3.9% pada April 2011, yang terendah sejak 40 tahun.

-Mencapai rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam sejarah Turki iaitu hampir 8.5% pada 2010.

-Tersenarai diantara kedudukan ekonomi terbaik di Eropah.



2. PENDIDIKAN

-Dalam tempoh awal Tayyip menjadi Perdana Menteri ,beliau telah meningkatkan belanjawan Kementerian    Pendidikan dari 7.5 bilion lira pada 2002 kepada 34 billion lira pada tahun 2011, menjadikannya  kementerian yang memperolehi belanjawan tertinggi negara berbanding Kementerian Pertahanan  sebelumnya.

-Pendidikan wajib telah dinaikkan daripada 8 tahun kepada 12 tahun.

-Pada tahun 2003, kerajaan Turki dengan kerjasama UNICEF telah memperkenalkan kempen 'Haydi kızlar  Okula!' yang bermaksud "Ayuh gadis-gadis, mari kita pergi ke sekolah!" Matlamat kempen ini adalah untuk  menutup jurang gender enrolmen sekolah rendah melalui penyediaan pendidikan asas yang berkualiti bagi  semua kanak-kanak  perempuan , terutama di kawasan tenggara Turki. 

-Pada tahun 2004 ,semua buku teks adalah percuma.

-Pada tahun 2008, setiap wilayah di Turki telah membina universiti sendiri. Ini bermakna sejak Tayyip  berkuasa, bilangan universiti di Turki yang dibina hampir dua kali ganda, daripada 98 pada 2002 kepada  186 pada Oktober 2012.

-Tayyip telah menunaikan  janji-janji beliau apabila memulakan projek fatih di mana semua sekolah-sekolah  kerajaan yang bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat sekolah tinggi akan menerima sejumlah  620,000 papan pintar (smart board), manakala komputer tablet akan diagihkan kepada 17 juta orang  pelajar, satu juta guru dan pentadbir.



3. KESIHATAN

-Pada April 2006, Tayyip mengumumkan pakej pembaharuan keselamatan sosial yang dituntut oleh Tabung  Kewangan Antarabangsa di bawah perjanjian pinjaman. Badan-badan keselamatan sosial Turki tiga telah  bergabung di bawah satu bumbung, membawa perkhidmatan kesihatan yang sama rata dan faedah  persaraan untuk ahli-ahli ketiga-tiga badan.

-Dalam rang undang-undang kedua ,semua orang di bawah umur 18 tahun akan layak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan percuma, tidak kira sama ada mereka membayar   premium kepada mana-mana organisasi keselamatan sosial atau tidak.

-Rang undang-undang juga menjangka peningkatan beransur-ansur dalam umur persaraan. Bermula dari  tahun 2036, umur persaraan dijangka akan meningkat kepada 65 tahun sehingga 2048 bagi  kedua-dua  wanita dan lelaki.

-Kerajaan menyatukan tiga sistem hospital dan insurans untuk profesion yang berbeza. Ia dikritik kerana  menawarkan faedah yang tidak sama rata apabila kakitangan awam  mendapat perkhidmatan daripada  hospital yang terbaik manakala orang lain terpaksa menunggu dalam giliran yang amat panjang serta tempoh  yang lama.

-Kadar pengguguran yang terlalu tinggi sebelumnya semakin menurun. Tayyip pernah berkata bahawa  pengguguran adalah pembunuhan. Kata beliau: "Eğeranne karnında bir bebek öldürmek ya da doğumdan  sonra onu öldürmek . Hiçbir fark yoktur ".Yang bermaksud "Anda (ibu yang menggugurkan bayi) sama  sahaja samada membunuh bayi di dalam rahim atau membunuh bayi setelah dilahirkan, tiada beza".

-Pada Januari 2008 , Parlimen Turki telah mengguna pakai undang-undang mengenai larangan merokok di  kebanyakan tempat awam. Tayyip secara jelas adalah anti merokok.



4. HAK ASASI MANUSIA

-Terdapat beberapa percubaan untuk meminda Perlembagaan Turki  1982 dengan " perlembagaan lebih    berbentuk merakyatkan". Namun ia gagal kerana mendapat tentangan parti-  parti pembangkang utama  seperti  Parti Republik Rakyat (Cumhuriyet Halk Partisi), CHP dan Parti Kebangsaan dan Gerakan  (Milliyetçi Hareket Partisi), MHP . Namun selepas mereka kehilangan referendum pada tahun 2010, Parti  CHP bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlembagaan yang antaranya membenarkan penyertaan  semua parti-parti politik dalam parlimen Turki, serta merangka draf baru untuk perlembagaan Turki.

CHP dan MHP antara 2 parti terbesar di Turki setelah AK Parti

-Saat Tayyip mula memerintah, beliau telah memulakan proses inisiatif demokratik, dengan matlamat untuk  meningkatkan taraf demokrasi secara umum 

-Hak-hak minoriti etnik dan agama khususnya, juga telah dimulakan.

-Di bawah Tayyip, Kerajaan Turki mengetatkan undang-undang mengenai penggunaan dan penjualan arak ,seperti mengharamkan semua iklan yang bertujuan meningkatkan cukai ke  atas minuman alkohol itu. Beliau  memberikan alasan supaya tidak mahu melihat kesihatan dan masa depan anak-anak muda serta generasi  akan datang terjejas.

-Antara kandungan pakej Demokrasi yang telah diumumkan ialah pemansuhan larangan untuk wanita  berhijab. Ini bermakna, wanita-wanita yang ingin bertudung tidak perlu risau dengan apa-apa sekatan.  



5. INFRASTRUKTUR DAN PENGAKUTAN

-Di bawah kerajaan Tayyip, jumlah lapangan terbang meningkat daripada 26 kepada 50.

-Di antara penubuhan Republik Turki pada tahun 1923 sehingga 2002 ,hanya terdapat 6000 km dual  carriageway sahaja yang dibina. Namun sejak tahun 2002 hingga 2011,Tayyip hanya memerlukan masa 9  tahun untuk menambah 2 kali ganda jarak tersebut sehingga 13500 km yang telah berjaya dibina,  menjadikan jumlah keseluruhan sejauh 19500 km.

-Dengan langkah-langkah tersebut, bilangan kemalangan kereta jatuh sebanyak 50 peratus.

-Garis kelajuan tinggi kereta api telah dibina. Pada 2009, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di Turki  mula beroperasi. Dalam masa 8 tahun, kereta api sejauh 1076 km telah dibina dan kereta api sejauh 5449  km telah diperbaharui. Ini merupakan rekod terbaik dalam sejarah Turki.

-Marmaray dibina, sebuah terowong kereta api undersea di bawah selat Bosphorus itu telah mula dibina    pada tahun 2004. Ia akan menjadi dasar laut terowong tiub tenggelam paling dalam di dunia.

-Setakat ini, tidak kurang dari 10 pengakutan awam dengan fasiliti yang baik, tempoh masa yang pantas,  telah disediakan. Dengan nilai yang sangat murah, tiada mana-mana golongan yang tidak mampu  membayarnya.



6. DASAR LUAR

Maaf kerana saya tidak larat untuk menulis banyak mengenai dasar luar yang digunapakai oleh kerajaan Turki. InsyaAllah saya akan bentangkannya pada akhir bulan 4 nanti terutama dasar luar yang melibatkan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), Iran, China serta bagaimana pendirian terkini Turki terhadap Mesir, Syria dan Israel. Tidak lupa juga bagaimana pendekatan beliau dalam menyelesaikan masalah dalaman seperti isu rakyat Armenia dan Kurdi. Dalam pembentangan itu juga nanti saya akan cuba jelaskan pakej demokrasi yang telah diumumkan oleh Tayyip akhir tahun lalu. 



DAVOS 2009, "ONE MINUTE"

Setelah kejayaan demi kejayaan yang telah berjaya dipamerkan oleh Tayyip kepada dunia melalui kedudukan politik yang sudah stabil, ekonomi yang sedang kukuh, beliau mula bersuara semula mengenai apa yang berlaku di Palestin dan negara-negara yang masih dijajah samada negara-negara Islam atau di negara-negara miskin seperti di afrika. Selain itu, beliau semakin menunjukkan taringnya apabila mula mengkritik keras pemimpin-pemimpin arab yang mengambil sambil lewa terhadap kebebasan dan bisu terhadap apa yang sedang berlaku pada umat Islam yang ditindas. Pada 2009, ia menjadi tarikh yang tidak mampu dilupakan oleh umat Islam. Dalam satu forum yang telah dikendalikan oleh World Economic Forum, ia telah membariskan ahli-ahli panel antaranya ialah Tayyip selaku Perdana Menteri Turki, Shimon Peres selaku Presiden Israel, Amr Mousa mewakili Liga Arab dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Dalam forum itu, Tayyip dengan tegas mengutuk Israel yang disifatkan langsung tidak berperikemanusiaan apabila membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita, orang tua yang tidak bersalah. Tayyip dengan garang menggelar Shimon sebagai pembunuh. Dalam forum itu juga, Tayyip diberikan tempoh masa yang lebih kurang untuk berhujah berbanding Shimon, ketika mana beliau sedang berhujah, moderator mencelahnya. Tayyip yang tidak mahir berbahasa Inggeris terus berkata kepada moderator 'one minute' (satu minit) supaya beliau dapat habiskan penyampaiannya. Oleh kerana moderator disifatkan sebagai berat sebelah, akhirnya Tayyip telah mengejutkan semua apabila bertindak bangun dan meninggalkan pentas sebagai tanda tidak puas hati. Saat beliau tiba di lapangan terbang di Istanbul, beliau telah disambut sebagai wira, dunia Islam sudah tidak lagi mengharapkan Mahmoud Ahmadinejad, bekas Presiden Iran untuk menerajui suara umat, tetapi adalah Erdoğan!.Sehingga hari ini, rakyat Turki yang tidak tahu berbahasa inggeris telah mempelajari satu perkataan inggeris iaitu 'one minute'.


Tayyip ketika berdebat dengan Shimon ketika forum di Davos pada 2009


MAVI MARMARA 2010

Mavi Marmara, merupakan kapal yang mengibarkan bendera Turki yang telah ditembak oleh tentera Israel, membawa sekitar 563 sukarelawan dari 31 negara termasuk Malaysia. Kapal tersebut merupakan salah satu dari 6 kapal yang bergabung dengan armada The Freedom Flotilla.Tujuannya adalah untuk memberikan bantuan kemanusiaan serta membebaskan Gaza dari Blokade yang diterapkan Israel sejak Hamas berkuasa pada tahun 2007. Misi tersebut telah disertai oleh ramai aktivis pro palestin dari serata dunia, bukan itu sahaja, beberapa orang personaliti terkenal seperti pemenang nobel keamanan, sastrawan, penulis filem, dan wartawan. Menteri Luar Turki, Dr. Ahmet Davutoğlu telah mendesak kerajaan Israel agar memohon maaf secara terbuka serta memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku serta. Saya yakin sukarelawan-sukarelawan hebat Malaysia lebih arif dan maklum mengenai mavi marmara kerana mereka sendiri telah meredahnya. 

Rakaman menunjukkan tentera Israel sedang
 menembak ke arah kapal Mavi Marmara

Menteri Luar Turki
Dr. Ahmet
 DAVUTOĞLU

GEZI PARK 2013

Rasanya peristiwa ini juga agak sukar untuk dilupakan. Ia telah bermula dengan protes dan penentangan terhadap Pemerintah Turki bermula pada 27 Mei 2013 di sebuah kawasan yang terletak di Istanbul iaitu Taksim Square. Protes ini tercetus apabila sekelompok warga Turki yang menamakan diri mereka sebagai kumpulan ‘pecinta alam’ atau environmentalist tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa memotong sekurang-kurangnya 10 buah pokok yang memang nak hampir mati di kawasan tersebut bagi tujuan pembaharuan. Kerajaan juga akan menggantikan pokok yang lain dikawasan itu juga, Maka demonstarsi kecil-kecilan pun bermula. 

Pada 4 Januari 2012 iaitu di mana Majlis Perbandaran Beyoglu telah meluluskan sebuah projek pembangunan semula di kawasan Taksim Gezi Park di mana sebelum ini di kawasan tersebut terletaknya sebuah berek tentera empayar Uthmaniyah yang dibina pada tahun 1806 ketika di bawah pemerintahan Sultan Selim III.

Oleh itu Tayyip telah mengambil keputusan untuk membina semula berek askar Uthmaniyah yang dinamakan sebagai ‘Topcu Kislasi’ di kawasan yang sama dan turut menambahbaikkan kawasan pejalan kaki. Projek ini sebenarnya tidak akan merosakkan kawasan hijau (tumbuh-tumbuhan) di Taksim seperti yang diuar-uwarkan sebaliknya mencantikkan lagi kawasan hijau tersebut. Projek ini terus mendapat penentangan dan terjadilah demonstrasi yang pada awalnya bermula dengan aman. 

Ketika saya berpeluang bertemu dan bercakap dengan Dr. Ahmet Davutoğlu tahun lepas, inilah persoalan utama yang bermain di fikiran saya. Saya telah mengikuti temu bual penuh beliau yang telah disiarkan oleh stesen TV Al-Jazeera. Beliau telah memberi jawapan yang secara 360 darjah berbeda dengan apa yang ramai pihak laporkan. Beliau menyatakan ada 5 kumpulan yang terlibat dalam demonstrasi ini.

1.Pencinta Alam. Katanya sesiapa sahaja boleh buat berdemonstrasi kerana negara ini mengamalkan    kebebasan dalam demokrasi.

2. Pelajar

3. Pekerja 

Kesemua tiga-tiga kumpulan ini hanya bertindak berkumpul beramai-ramai secara aman. Pasukan keselamatan pula tidak terlalu ketat dalam mengawal mereka kerana tiada bahaya yang akan mereka cetuskan. Tetapi bila diteruskan dengan kumpulan seterusnya iaitu:

4. Pencetus Provokasi.

5. Pihak Antarabangsa.

Sebenarnya jika diperhatikan para pendemonstran tersebut bukanlah melakukan protes kerana menentang projek Kerajaan kerana mereka turut memahami bahawa isu tersebut bukanlah sebuah isu yang besar sehingga mendapat liputan antarabangsa sebaliknya mereka tidak berpuas hati dengan undang-undang baru Turki yang mengharamkan penjualan arak pada jam 10 malam sehingga jam 6 pagi serta tidak dibenar menjualnya di kawasan yang berdekatan dengan Masjid dan Sekolah kecuali di sekitar kawasan perlancongan. Hal ini terbukti apabila mereka membuat demonstrasi dengan mengotorkan rumah ibadat, meminum arak dan berzina di hadapan awam secara beramai-ramai dengan sengaja. Apakah media antarabangsa melaporkan ini? Anda jawab sendiri. Kedua-dua pihak inilah yang telah menjadi punca demonstrasi berlarutan sehingga pasukan keselamatan terpaksa bertindak keras terhadap mereka. Dr. Davutoğlu juga bila ditanya apakah Turki gusar dengan kebebasan media, beliau menjawab "Saya tidak risau dengan kebebasan media, namun saya risau dengan media yang tidak menghormati etika media". Beliau mempersoalkan lagi, mengapa jumlah media yang melaporkan tentang Turki jauh lebih banyak berbanding media yang melaporkan mengenai kekejaman Bashar terhadap rakyat Syria.

Di samping itu, demonstrasi yang pada asalnya kerana menentang projek Kerajaan itu telah bertukar menjadi demonstrasi untuk menggulingkan Kerajaan sah Turki apabila pihak pembangkang Turki yang melihat permasalahan ini merupakan berita baik bagi agenda politik mereka dengan menyelit isu-isu negara bagi meniupkan lagi api kebencian terhadap pihak Kerajaan. Kebanyakan parti-parti pembangkang di Turki seperti CHP dan MHP telah bersatu berdemonstrasi sehinggalah merebak ke seluruh Negeri di Turki seperti Ankara, Izmir dan Antalya. Para demonstran pula terdiri daripada mereka yang berbeza ideologi seperti sekularis, komunis, Alawi (Syiah) dan sebagainya. Mereka juga menggunakan senjata-senjata yang bahaya apabila berhadapan dengan pasukan keselamatan. Hal ini menyebabkan polis terpaksa bertindak lebih agresif bagi meredakan keadaan. Kebanyakan para demonstran juga tidak kurang dari disertai oleh orang-orang luar. Bila disiasat, setiap 20 orang yang ditangkap, akan ada 5-6 orang yang bukan rakyat Turki tetapi dari negara luar seperti Rusia dan Iran.

Demonstrasi ini tentunya telah dirancang oleh Ketua parti Pembangkang dari parti CHP iaitu Kemal Kılıçdarouğlu .Seimbas tentang parti CHP ini, ianya ditubuhkan pada tahun 1919 oleh Presiden pertama Turki juga seorang yang bertanggungjawab terhadap runtuhnya Empayar Uthmaniyyah, iaitu Mustafa Kemal Ataturk. Parti ini berideologi sekular-liberal yang agak berbeda dengan sekular tradisi barat (sekular revolusi Perancis iaitu tiada sebarang percampuran di antara politik dan agama serta rakyat bebas untuk mengamalkan agama masing-masing) kerana sekular ala kemalist lebih bersifat kejam dengan dengan menggunakan kuasa untuk menentukan amalan dalam agama. Pemerintahan mereka ini bersifat ketenteraan.


Ketua Pembangkang dan Ketua Umum CHP,
Kemal 
KILIÇDAROUĞLU

Ketua Umum MHP,
Devlet 
BAHÇELİ

Walaubagaimanapun parti CHP telah mengalami kekalahan yang teruk bagi sesi Plihanraya Turki pada tahun 1979 dan Kerajaan bertukar tangan di bawah pemerintahan Parti Keadilan (Adalet Partisi, AP). Kekalahan tersebut telah menyebabkan parti CHP terus menjadi lemah dan tewas dalam semua pilihanraya. Tetapi itu bukanlah suatu permasalahan yang besar buat mereka (CHP) kerana parti-parti yang memerintah Kerajaan Turki ketika itu mengamalkan prinsip dan ideologi yang tidaklah jauh berbeda dengan CHP sehinggalah pada tahun 2002 apabila dunia melihat kejayaan AK Parti yang semakin lama dilihat pro kepada Islam mendapat kemenangan dengan meraih undian sebanyak 10.7 juta. Derita ini ditambah pula dengan Tayyip dipilih sebagai Perdana Menteri Turki.

Pihak pembangkang di Turki sebenarnya mengetahui bahawa sukar bagi mereka mendapat kemenangan pada pilihanraya yang berikutnya sehinggalah mereka terpaksa menggunakan cara ‘revolusi’ tetapi berselindung di sebalik nama ‘demonstrasi rakyat’.

Pihak media antarabangsa seperti BBC, CNN, Reuters, dan lain-lain juga tidak jujur dan berniat jahat apabila membuat liputan mengenai Gezi Park. Mereka kononnya menyiarkan gambar polis menembak secara sengaja, rakyat ramai mahukan Tayyip letak jawatan, mereka mengambil gambar-gambar perhimpunan yang lama-lama atau di tempat lain kemudian menampalkan Gezi Park sebagai tajuk utamanya. Ada juga gambar ketika acara maraton yang diadakan setiap tahun di Turki diambil oleh media asing dan mengaitkan dengan perhimpunan menggulingkan kerajaan. 


Foto ini tidak dapat dipastikan sendiri oleh media
 antarabangsa samada ia ditangkap ketika isu Gezi Park. Namun
hanya gambar-gambar seperti ini yang diperbesar-besarkan.

Foto menunjukkan para demonstran yang sedang mabuk mengotorkan
rumah ibadat, membawa masuk arak dan meminumnya beramai-ramai secara
sengaja, mereka membawa masuk gadis-gadis dan berzina dikhalayak ramai.
Foto ini tidak pernah wujud sebelum ini sehinggalah tercetus  isu Gezi Park.
 Mengapa media antarabangsa tidak menyiarkan keadaan ini?

Pada 15 Jun 2013, Tayyip telah bertindak menyeru semua rakyat Turki berkumpul bagi menunjukkan kepada dunia apa sebenarnya yang berlaku. Seruan itu telah disambut dengan lautan manusia yang berkumpul di 2 bandar besar iaitu Ankara dan Istanbul. Walaupun dalam cuaca yang sangat panas, mereka tidak berganjak dari perhimpunan. Ini merupakan antara perhimpunan yang teramai dalam sejarah Turki. Dalam ucapan Tayyip. Pertama sekali beliau mencabar:

"Ada siapa-siapa mahu lihat Turki? Adakah media antarabangsa mahu melihat Turki? Nah! inilah gambarnya!" Disambut dengan sorakan rakyat yang hadir.

Beliau mencabar "Media antarabangsa! Boleh kah anda buat liputan disini? Ayuh kita lihat siapa yang berani, BBC! Tangkaplah gambar di sini! CNN! Tangkaplah gambar di sini! Reuters! Tangkaplah gambar di sini!" 

"Ketika kami ingin menuntut keahlian penuh dari kamu (Kesatuan Eropah), kamu abaikan. Sekarang mengapa kamu seperti kepanasan untuk campurtangan dalam isu ini?" Terus disambut oleh rakyat yang semakin bersemangat. 

Media antarabangsa dimalukan, begitu juga reputasi Kemal dari CHP menyebabkan keesokan harinya, media antarabangsa terpaksa berhenti menyiarkan isu Gezi Park lagi. Secara rasminya agenda musuh Tayyip selama 2 minggu berlangsung gagal.

Lautan manusia menghadiri Perhimpunan menghormati negara
sekaligus telah mematikan segala serangan media asing mengenai isu Gezi Park.

Ini baru sedikit dari coretan apa yang berlaku di Turki dalam 10 tahun ini yang, masih banyak yang saya tidak sempat tulis. Selain itu, kalau kita lihat pasca kemenangan AK Parti di Turki, Tayyip amat kurang menggunakan istilah-istilah, atau nama-nama Islam dalam pemerintahannya tetapi nilai-nilai Islamlah yang banyak beliau tonjolkan dalam dasar pemerintahannya. Beliau sangat berbeda jika dibandingkan semasa masih bersama Parti Refah (yang akhirnya parti itu diharamkan) dahulu yang sangat radikal, berfikiran seperti jemaah, cukup lantang menentang sistem sekular, demokrasi sambil menggelar ia merupakan sistem kufur. Namun setelah diguling oleh tentera, kemudian kembali berkuasa pada 2003, Tayyip tidak lagi seperti dahulu. Beliau sudah lebih berhikmah, beliau mula berbaik-baik dengan Amerika Syarikat, mula menuntut supaya Kesatuan Eropah yang dikutuknya dahulu menerima Turki sebagai ahli. Beliau juga tidak  lagi berceramah berapi-api seperti seorang pemimpin Islam yang hanya tahu menyeru: "Ayuh kita buat negara Islam! Kita mesti hancurkan negara kafir!" tetapi hakikatnya hanya mulut berbicara, kerja entah ke mana. Tayyip sudah lebih berstrategi. Ketika itu, ramailah bekas teman-teman beliau ketika masih dalam Parti Refah bersama Dr. Erbakan menyelar tindakan beliau. Kata mereka beliau tidak lagi berpegang dengan syari'at, beliau telah terpesong dari manhaj Islam dan sebagainya. Namun tiada siapa dapat menghidu agenda luar biasa (agenda Islam) yang ingin dibawa oleh Tayyip semasa baru memegang kuasa waima kuasa-kuasa besar dunia sekalipun. Yang hanya tahu agenda Tayyip tidak lain tidak bukan hanyalah gurunya iaitu Dr. Erbakan.

Dr. Erbakan amat arif tentang strategi Tayyip. Baginya, Tayyip akan membina semula struktur Turki sehingga kukuh, kemudian barulah nilai-nilai Islam diserap ke dalam minda rakyat secara perlahan-lahan. Dr. Erbakan tahu hanya Tayyip yang mampu mengelakkan rampasan kuasa berlaku lagi di Turki kerana Tayyip memiliki kepakaran berunding dengan tentera. Dr. Erbakan sanggup membiarkan dirinya dihina sebagai politikus tua yang sudah ketinggalan zaman dengan parti terakhirnya (Saadet Partisi) yang semakin ditinggalkan rakyat hanya semata-mata ingin memberi laluan kepada Tayyip untuk terus mendapat tempat di hati rakyat. Ketika beliau ditanya adakah beliau tidak lagi sayangkan partinya sendiri, beliau menjawab: "Aku lebih sayangkan Islam dan masa depan Turki". Tidak semua rakyat Turki termasuk penyokong Dr. Erbakan tahu tentang hal ini. Sebab itu, ketika saat beliau meninggal dunia pada bulan Februari 2011, Tayyip tidak dapat menahan air mata yang mengalir, beliau sendiri melanggar protokol dengan mengusung jenazah gurunya untuk dikebumikan. Dalam ucapannya beliau menyebut: "Hari ini aku berdiri (sebagai Perdana Menteri) adalah hasil doa seorang guru, Mujahid agung Erbakan. Beliau bukan seorang ketua tetapi pemimpin. Beliau telah mengorbankan dirinya untuk seorang murid (aku) dan melihat Turki yang lebih baik". Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Dr. Erbakan. 

Tayyip dan Abdullah bersama-sama rakyat mengusung jenazah Dr.Erbakan untuk dikebumikan


PALESTIN, SYRIA, ROHINGYA DAN MESIR

Sejak Tayyip mula bersuara tentang isu Palestin, masyarakat Islam dari negara-negara Arab dan Afrika
telah mula berbangga dengan beliau. Beliau dilihat telah campurtangan dalam semua isu-isu kemanusiaan. Di saat pemimpin-pemimpin Arab lain terus membisu, beliau dengan keras membidas tindakan mereka (pemimpin Arab). Beliau telah menentang keras tindakan Presiden Syria, Bashar Al-Asad yang telah bertanggungjawab membunuh hampir 200 ribu orang sehingga kini. Oleh itu, beliau telah membuka pintu seluas-luasnya untuk pelarian Syria masuk ke Turki dan hidup di sini. 

Ketika masyarakat Muslim di Rohingya ditindas dengan zalim tanpa ada pemimpin-pemimpin besar bersuara, beliau telah menghantar isterinya, Emine Erdoğan dan Menteri Luar Turki, Dr Ahmet Davutoğlu
untuk menghantar bantuan kepada mereka. 


Emine bersama Davutoğlu ketika menyampaikan bantuan kepada masyarakat Rohingya yang ditindas

Di Mesir, ketika berlaku rampasan kuasa oleh Pemerintah haram As-Sisi ke atas Presiden yang sah iaitu Dr. Muhammad Mursi, Tayyip antara yang paling awal tidak dapat menerima tindakan tersebut. Beliau mempersoalkan di manakah suara pemimpin barat dan Amerika Syarikat yang selama ini memperjuangkan demokrasi. Mereka begitu bersuara ketika isu Gezi Park, tetapi diam seribu bahasa apabila melibatkan isu Mesir. Perhimpunan besar-besaran terus berlaku di dataran Rabi'ah A'dawiyah. Tayyip telah memperkenalkan simbol jari empat (R4BIA) sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Mesir. Oleh kerana Tayyip begitu tegas dalam isu ini, beberapa bulan yang lalu, kerajaan haram As-Sisi telah menghalau duta Turki ke Mesir sebagai tanda tidak puas hati apabila Tayyip tidak mahu lagi berkerjasama dengan kerajaan haramnya.

Tayyip menunjukkan simbol R4BIA sebagai tanda solidariti
terhadap rakyat Mesir. Simbol ini telah menjadi viral di seluruh dunia

APA SELEPAS 10 TAHUN? ADAKAH TAYYiP MASIH LAYAK DIPUJI?

Hakikatnya, walau banyak mana sekalipun perubahan yang telah Tayyip berjaya tonjolkan, tiada siapa dapat nafikan, masih terdapat banyak cacat cela serta kelemahan dalam agenda dan perubahan yang beliau cuba pamerkan pada dunia selama 10 tahun ini. Ia tidak terlepas dari kritikan, kutukan, tentangan dan kemarahan rakyat. 

Sejak akhir tahun lepas, Kerajaan Tayyip telah mula dipersoalkan kewibawaannya oleh rakyat apabila terpalit dengan isu-isu rasuah dan skandal tertentu. Ia nya bermula pada Disember 2013 apabila polis Turki menahan lebih 50 orang dan menahan 16 orang, termasuk pengurus besar Halkbank dan anak-anak tiga menteri di bawah tuduhan rasuah kerajaan. Walaupun Tayyip telah dipersalahkan duta-duta asing , akhbar-akhbar pro Tayyip pula menuduh bahawa Amerika Syarikat dan Israel yang telah merancang plot ini, penganalisis politik tetap menyifatkan bahawa tangkapan ini ada kaitan perebutan kuasa antara Perdana Menteri dan seorang intelektual antarabangsa iaitu Fethullah Gülen.Tayyip mendakwa bahawa ada komplot-komplot tertentu yang merancang untuk menjatuhkan beliau. Pada 25 Disember Tayyip merombak Kabinetnya ,10 orang menteri digantikan sejam selepas tiga orang menteri (yang didapati tertuduh kerana rasuah oleh anak-anak mereka) meletak jawatan. 



SIAPA GÜLEN? APA ITU HIZMET? BENARKAH WUJUD GÜLEN MOVEMENT?

Tentu ramai sekali orang yang ingin tahu siapakah dia Fethullah Gülen ini atau lebih popular dipanggil oleh rakyat Turki sebagai Hocafendi. Saya tidak tahu ingin mulakan cerita beliau dari mana. Namun tidak mengapa, saya akan cuba jelaskan juga. Beliau ialah seorang sarjana Islam dan pakar Theologi yang telah lama berpengaruh di Turki. Setelah Kerajaan Turki pimpinan Dr.Erbakan digulingkan, beliau telah berpindah (self impose) ke Pennsylvania, Amerika Syarikat. Beliau telah menghasilkan ratusan buku, tulisan, artikel dan lain-lainnya. Saya mungkin tidak sempat untuk menulis sejarah jemaah-jemaah yang wujud di Turki sejak dahulu, namun Gülen juga termasuk dari itu. Tulisan-tulisan Gülen telahpun diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Pada tahun 2008, beliau telah mengungguli 2008 Top 100 Intelectuals Poll bagi kategori pemikir yang paling berpengaruh. Pada tahun lepas pula, beliau telah dinamakan sebagai salah seorang dari 100 orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah TIME. Beliau juga telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 500 umat Islam  yang paling berpengaruh oleh Pusat Kajian Islam dan Strategik Di Raja yang berpusat di Amman, Jordan.

Baik, apa pula Hizmet? Hizmet pula bermaksud khidmat, Gülen sama sekali tidak suka jika orang katakan Hizmet sebagai sebuah gerakan atau kumpulan. Baginya Hizmet berkhidmat untuk semua orang lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat dan fahaman politik, senang kata 'Hizmet for all'. Gülen menyatakan bahawa Hizmet sebuah 'organisasi' yang memfokuskan pendidikan sebagai tunjang utama, bebas dari politik. Malah Gülen sering membaca: "Aku berlindung dari kejahatan dan politik". Hizmet telah bermula sekitar tahun 80an sehingga kini. Gülen dan beberapa rakannya mengasaskan Hizmet. Pengaruh Hizmet semakin meluas di serata dunia apabila mereka berjaya membina Institusi-institusi pendidikan seperti Universiti, sekolah, madrasah, pusat tuisyen dan sekolah untuk pelajar persediaan. Selain itu, mereka memiliki hospital, klinik, restoran, syarikat penerbangan dan banyak lagi yang tidak terkira untuk saya sendiri nyatakan. Ahli-ahli Hizmet di seluruh dunia bukan sahaja terdiri dari rakyat biasa, malahan orang-orang kaya dan professional seperti ahli perniagaan, doktor, pengarah syarikat, pemain bola. Tidak ketinggalan, kakitangan awam seperti ahli politik, pegawai kerajaan, polis, pegawai perisikan dan ramai lagi. Mereka memiliki media yang begitu banyak seperti Siaran televisyen, radio dan tentu sekali akhbar.  


Fethullah GÜLEN,
Antara orang yang terawal mengasaskan Hizmet




ERDOĞAN VS GÜLEN : SIAPA BAKAL TERSUNGKUR? 

Sejak hampir 30 tahun dahulu sehingga kini. Gülen telah membuktikan bahawa Hizmet tidak memerlukan kerajaan untuk berdiri terutama dari sudut kewangan. Sepertimana yang saya sebutkan bahawa Hizmet memang sudah 'dijamin' keperluan mereka untuk hidup di muka bumi ini. Hal ini dibuktikan apabila sebelum Tayyip menjadi Perdana Menteri lagi, Hizmet telah mampu menguruskan hal ehwal kerja mereka tanpa sebarang halangan dan sekatan oleh kerajaan tentera. Ini kerana kebanyakan universiti yang ditampung oleh Hizmet telah dibina bertahun-tahun sebelum Tayyip bergelar orang nombor 1 lagi. Setelah Tayyip menduduki kerusi Perdana Menteri, beliau hanya mempamerkan bahawa kerajaan beliau amat prihatin dengan Islam dengan menyalurkan bantuan kewangan dan sokongan kepada organisasi-organisasi Islam di Turki terutama kepada Hizmet yang pada mata Hizmet, itu hanyalah bantuan tambahan. 

Selama ini, parti yang benar-benar dilihat mengamalkan Islam, demokrasi adalah AK Parti. Kalau ingin kita ukur dari segi nama, Parti Saadet lebih Islam dari AK Parti. Namun dari segi pencapaian ke arah Islam, tentu sekali AK Parti lebih menonjol dari sudut itu. Oleh itu Hizmet menganggap AK Parti wajar diberi undi untuk terus kekal berkuasa.Tetapi itu zaman dahulu, pastinya tidak lagi sekarang. Penganalisis politik menyifatkan bahawa suku daripada pengundi-pengundi AK Parti terdiri dari orang-orang yang berdiri bersama Hizmet 

Persengketaan antara Tayyip dan Gülen bukan baru, walaupun sebelum ini mereka dilihat begitu akrab sehingga ramai yang mengatakan bahawa Gülen adalah guru spiritual Tayyip. Malah ketika peristiwa Ergenekon (satu gerakan terroris yang berusaha melakukan ampasan kuasa) pada tahun 2007, kerana Gülen dan orang-orangnya lah yang bertindak pantas memberi maklumat kepada Tayyip yang akhirnya menggagalkan usaha tersebut. Namun persengketaan ini sudahpun bermula sejak Tayyip masih bersama Dr.Erbakan  di dalam Parti Refah lagi. Ia disusuli dengan penyertaan Mavi Marmara yang telah mengakibatkan kematian sukarelawan Turki seramai 9 orang. Dalam kejadian itu, Gülen mendakwa wujud seorang ahli parlimen dari AK Parti telah menyebarkan maklumat mengenai 9 orang Turki yang akan menyertai misi tersebut kepada perisik Israel. Akhirnya, antara semua sukarelawan yang terlibat dalam misi itu, tentera Israel berjaya membunuh kesemua 9 individu yang dikaitkan dengan maklumat bocor tersebut. Salah seorang dari 9 individu itu ialah seorang remaja belasan tahun, berdarah campuran Amerika-Turki yang juga antara pemuda kesayangan Hizmet. Sehingga hari ini, Gülen masih mengatakan bahawa beliau tidak merestui tindakan Tayyip memberi lampu hijau dalam misi itu. Gülen juga mendakwa sehingga sekarang, Tayyip tidak mendakwa kekejaman Israel di Mahkamah Antarabangsa. 

Dalam isu Gezi Park pula, Gülen menyokong Tayyip kerana menyedari ia merupakan agenda pihak luar untuk menjatuhkan Islam. Seluruh ahli-ahli Hizmet Turki berdiri dibelakang Tayyip untuk menghadapi ancaman musuh. Pada waktu itu juga, Tayyip amat yakin bahawa kerajaannya akan kembali stabil. Dalam ucapannya ketika malam penutup acara Olimpiad Turki (Türkçe Olimpiyatları) pada bulan Jun 2013, beliau menegaskan bahawa akan terubat kerinduan rakyat Turki sekiranya Hocafendi (Gülen) pulang semula ke Turki. Beliau juga memberi jaminan bahawa tidak ada apa-apa lagi masalah dan bahaya yang akan berlaku pada Hocafendi (Gülen seperti mana bahaya semasa zaman tentera dahulu). Namun Gülen telah menjawab ajakan itu kepada Bülent Arınç (Timbalan Perdana Menteri Turki) ketika Bülent mewakili Tayyip melawat Gülen di Amerika Syarikat pada tahun yang sama bahawa bahaya itu bakal berlaku dalam beberapa bulan lagi (pada waktu itu), dan ternyata ia berlaku. 

Tayyip bersama Gülen dalam satu majlis di Erzurum sewaktu Gülen masih lagi di Turki

Persengketaan antara mereka lebih parah apabila kerajaan mengumumkan akan menutup sekolah persediaan atau lebih popular disebut 'Dershane' (Preparatory school) yang disifatkan hanya memberi manfaat kepada golongan elit dan berkemampuan sahaja.Kerajaan juga mempersoalkan mengapa Hizmet tidak menyokong kerajaan dalam memperkukuhkan lagi sekolah Imam Hatip (sekolah agama di Turki). Dershane dimiliki oleh Hizmet dan menjadi antara sumber kewangan Hizmet. Pemerhati Turki melihat bahawa Dershane telah banyak membawa perubahan yang positif kepada pelajar-pelajar yang dahulunya bermasalah seperti tidak solat, kuat merokok dan lain-lain. Oleh yang demikian itu, mereka menyifatkan kerajaan Turki bimbang dengan pengaruh Hizmet yang semakin mendapat tempat bakal menggugat kedudukan mereka. Mereka juga tidak menolak kemungkinan bahawa Gülen sedang merancanakan plan penubuhan kerajaan dari dalam (state within state) dengan meletakkan ramai orang-orang Hizmet di dalam kerajaan dan kakitangan-kakitangan awam. Pada kerajaan, ini merupakan agenda jangka panjang Gülen dalam usaha merebut kuasa. Dakwaan yang sama juga berlaku terhadap Gülen oleh Ketua Pendakwa raya Turki pada tahun 2000, iaitu 2 tahun sebelum AK Parti memegang kuasa. Pada tahun 2008, di bawah kerajaan Tayyip, hakim mendapati tuduhan itu (tahun 2000) adalah tidak berasas sama sekali dan Gülen bersih dari tuduhan tersebut.     

Dalam komen Gülen melalui e-mel kepada akhbar Wall Street Journal pada bulan Januari 2014, Gulen berkata bahawa " Orang Turki ... kecewa kerana sejak 2 tahun yang lalu kemajuan demokrasi kini telah diterbalikkan ", tetapi beliau menafikan menjadi sebahagian daripada plot untuk menggulingkan kerajaan. Dalam temu bual Gülen dengan BBC pula, beliau berkata " Jika saya ditanya siapa yang patut orang undi nanti, saya boleh mengatakan orang patut mengundi mereka yang menghormati demokrasi, kedaulatan undang-undang , yang dapat menyesuaikan diri dengan rakyat .Memaksa orang ramai untuk mengundi parti sendiri merupakan satu penghinaan terhadap intelek rakyat. Semua orang mampu melihat dengan jelas apa yang sedang berlaku" 

Arahan penutupan Dershane ini bukan sahaja mendapat penentangan dari Hizmet, malah beberapa wakil rakyat dari AK Parti turut membantah dan bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Antara wakil rakyat tersebut ialah Hakan Şükür. Beliau ialah seorang pemain bolasepak, bekas kapten pasukan Galatasaray dan pasukan kebangsaan Turki. Beliau juga merupakan penjaring gol terpantas dalam Piala Dunia 2002 ketika menentang Korea Selatan. Seorang yang cukup disayangi oleh rakyat Turki kerana peribadinya tidak seperti pemain bolasepak Turki yang lain. Malah ketika majlis pernikahan beliau, Tayyip dan Gülen dilantik menjadi saksi beliau. Namun begitu beliau tidaklah seorang yang begitu mahir dalam berpolitik, tetapi beliau mampu menjadi tarikan pengundi terutama anak muda sekiranya kali ini beliau bertanding menentang AK Parti kerana beliau akan sentiasa diingati sebagai seorang lagenda.


Foto kanan, Hakan Şükür ketika menjaringkan gol terpantas dalam Piala Dunia 2002 menentang Korea Selatan
Foto kiri, Hakan ketika mewakili AK Parti dalam parlimen  setelah bersara dari arena bolasepak

Tayyip (berjubah merah), dan Gülen (berkaca mata) ketika menjadi saksi pernikahan Hakan Şükür

Setakat ini, jumlah wakil rakyat AK Parti yang sudah bertindak keluar menjadi wakil rakyat bebas adalah hampir 10 orang. Bagi AK Parti yang menang besar dalam sesi Pilihanraya umum yang lalu, ia tidak menjadi masalah, tetapi mereka yang keluar ini merupakan antara orang-orang sangat berpengaruh di dalam Turki.
Bagi saya, pihak mana merasakan pihak lain lemah dan tidak berupaya, maka pasukannya sendirilah yang bakal tersungkur.



SEDIKIT PENGALAMAN,PANDANGAN PERIBADI SAYA TERHADAP GÜLEN DAN HIZMET

Saya seorang pelajar di Universiti Fatih, universiti waqaf yang dinaungi oleh Hizmet. Saya tinggal di asrama yang lebih dari separuh pelajarnya adalah orang-orang Hizmet. Antara perkara-perkara yang saya sangat tertarik dengan mereka ialah akhlak mereka, mereka mementingkan soal kebersihan, berhati-hati dengan soal pembaziran dan sangat menepati waktu. Saya yang sebelum ini sentiasa berakhlak buruk malu melihat mereka. Ia mendesak saya supaya segera berubah. Abi-abi (abang-abang warden lebih kurang) di sini sangat bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap adik-adik mereka yang banyak karenah ini. Mereka tidak pernah memaksa, mereka hanya melihat jika kita buat tidak betul. Akhirnya kita sendiri akan malu dan berubah. Saya dilayan dengan begitu baik sekali. Ketika saya tidak sihat, saya mampu untuk ke klinik sendiri. Namun kerana prihatin, abi ini sanggup mengorbankan hari cutinya untuk meneman saya ke klinik. Walaubagaimanapun, walau saya menghargai segala jasa-jasa mereka terhadap saya, ia sama sekali tidak menghalang saya untuk bersuara menyatakan pandangan yang berbeda dengan mereka jika saya rasa ia perlu. Apa yang perlu kita tahu ialah, Hizmet ini juga ada hiraki dan tingkatan-tingkatannya. Ini bermakna maklumat-maklumat mengenai Hizmet yang diperolehi oleh ahli Hizmet yang tinggi tingkatnya pasti tidak sama berbanding apa yang diperolehi oleh ahli Hizmet yang kurang tinggi tingkatnya. Saya sendiri sering berdebat dengan rakan-rakan Hizmet mengenai Hizmet dan Gülen. Kadang-kadang mereka kata saya masih baru dan tiada banyak pengalaman dalam Hizmet. Namun bagi saya pembacaan, pergaulan, dan lihat sudah cukup untuk mengukur sesuatu perkara walaupun ia tidak memakan masa yang terlalu lama.

Saya sendiri banyak menghadiri program-program besar yang dianjurkan oleh Hizmet. Sebelum saya nak teruskan, saya ingin memohon maaf sekiranya bahasa yang saya akan gunakan ini dilihat lebih bongkak dan sombong. Saya tidak berniat begitu. Saya sendiri telah banyak kali dijemput untuk mengaji, memberi tazkirah, dalam majlis-majlis besar anjuran Hizmet serta ditemu bual oleh media-media yang dimiliki oleh Hizmet. Astaghfirullahal'adzim, saya pernah 3 kali terpampang dalam akhbar ZAMAN, 2 kali dalam akhbar BÜGÜN, dan sekali dalam akhbar HABER TÜRK. Di media elektronik pula, saya pernah masuk dalam Samanyolu TV, IRMAK TV, dan ditemu bual oleh MEHTAP TV dan radio Burç.fm. Astaghfirullahal'adzim.

Beberapa minggu yang lepas, seorang pensyarah jemputan di Universiti Fatih, Dr.Suleyman Sargın menelefon saya dari luar Turki. Ketika itu, saya masih tidak dapat kesan dari negara mana nombor itu. Katanya beliau mahu berjumpa saya pada hari dan tarikh sekian-sekian kerana ada urusan penting. Beliau merupakan anak murid yang paling rapat dengan Gülen. Beliau menetap di Amerika Syarikat dan hanya akan datang ke Turki sebulan sekali sebagai pensyarah jemputan di beberapa universiti. Beliau adalah pensyarah bahagian Tasawwuf  bagi pelajar-pelajar tahun dua (saya masih pelajar persediaan). Maka ketika hari beliau datang ke Universiti Fatih, beliau sekali lagi menelefon supaya dapat berjumpa. Akhirnya saya menghadiri kuliah beliau. Setelah beliau nampak saya di belakang, beliau terus menjemput saya untuk duduk di sebelah beliau. Semua pelajar-pelajar kehairanan. Kemudian beliau pun kata: "Hocafendi (Gülen) sampaikan salam pada kamu".Saya terkejut. Kemudian beliau memberikan saya seutas jam tangan. Beliau berkata: "Hocafendi minta saya sampaikan jam peribadi dia ini pada kamu dan mendoakan agar kamu sempat berjumpa dengan dia di Amerika Syarikat" Sampai sekarang saya masih simpan jam tangan itu tetapi tidak pun menggunakannya. Beliau meyebut di hadapan semua pelajar-pelajar tahun 2 di dalam dewan kuliah. Peluang ini tidak mungkin dapat pada kawan-kawan Hizmet yang lain walaupun mereka adalah orang Turki.
Wallahila'dzim, jika anda merasakan saya sedang berlagak, maka saya memohon keampunan dari Allah dan memohon ribuan kemaafan kepada anda semua. Apa yang saya nak katakan di sini, selepas ini, saya rasa tiada lagi halangan untuk saya persoalkan serta berbeda pendapat dengan kawan-kawan Hizmet yang lain.   

Saya sendiri tidak menafikan ketokohan serta keilmuan yang dimiliki oleh Hocafendi Fethullah Gülen. Sebelum saya ke Turki lagi, saya sudah menghabiskan buku-buku tulisan beliau dalam Bahasa Inggeris dan Indonesia. Kemudian setelah saya di Istanbul, saya meneruskan pembacaan dalam Bahasa Arab dan Turki. Pada saya, beliau mendapat pengaruh yang besar kerana beliau menulis mengenai bab-bab di dalam 'zon selamat' seperti Allah itu satu, Rasulullah S.A.W ikutan kita, dan banyak lagi tulisan-tulisan beliau yang tiada orang akan bercanggah mengenainya. Beliau jarang menulis dan bercakap mengenai perkara-perkara yang boleh menimbulkan perbincangan, perdebatan, jauh sekali kontroversi. Ceramah-ceramah beliau hanya penuh ketenangan dan kadang kala membuat air mata menitis. Namun ada beberapa perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau dan Hizmet antaranya:

1.Beliau sering menyampaikan sesuatu, kemudian bila ditanya dari mana, beliau menjawab :"Aku pernah    bermimpi". Ini kerana ilmu itu harus dicari, bukan mencari. Ilmu hanya boleh diperolehi dengan pembacaan,  kajian, pendengaran, perbincangan dan lain-lain bukan dengan hanya bermimpi atau mendapat ilham. Kita  bukan Nabi atau wali.

2. Semua orang dalam Hizmet mengatakan bahawa Gülen tidak berpolitik. Namun yang bercakap itu hanya  abi-abi (ahli-ahli biasa dalam Hizmet). Saya secara 100% percaya mustahil beliau tidak berpolitik. Betapa  ramainya ahli-ahli politik yang didukung oleh Hizmet menyelinap masuk ke dalam parti-parti politik terutama  Parti Kerajaan.

3. Saya melihat media Hizmet juga bersikap 'double standard' dalam melaporkan sesuatu terutama terhadap  Tayyip. Ketika saat Tayyip masih mempertahankan Hizmet, tiada apa-apa laporan yang buruk mengenai  Tayyip disiarkan di dalam dada-dada akhbar dan siaran-siaran televisyen milik Hizmet. Namun sejak Tayyip  mula bertelingkah dengan Gülen, mereka (media Hizmet) sudah mula memburuk-burukkan Tayyip,  mengulangi cerita-cerita, video-video lama Tayyip. Tidak kurang juga mereka memanipulasi kenyataan  sarjana-sarjana tertentu mengenai Tayyip.

Antara video-video lama yang mengandungi ucapan Tayyip semasa masih bersama Parti Refah (kiri) dan AK Parti (kanan). Ucapan-ucapan yang menyentuh tajuk yang sama, tetapi pendirian yang berbeda menyebabkan beliau dituduh tidak konsisten  dengan pendiriannya semasa menjadi pembangkang kemudian berkuasa.

Akhir tahun lepas, seorang sarjana terkemuka, Dr. Tariq Ramadhan dalam ucapannya berkata, Tayyip mesti mengamalkan apa yang beliau tegur kepada Mobarak (bekas Presiden Mesir) iaitu dengan menghormati tuntutan rakyat dan mengamalkan kebebasan. Kenyataan ini telah dimanupulasi oleh akhbar ZAMAN apabila menulis bahawa Dr. Tariq menyarankan agar Tayyip meletak jawatan sekarang. Keesokan harinya, Dr. Tariq menerusi akaun facebooknya memperbetulkan laporan oleh media di Turki yang dikatakan tidak adil dan memanipulasi kenyataannya. Ia merujuk kepada laporan ZAMAN. 



TAYYiP MULA ANTI JEMAAH? BENARKAH?

Pada awal pertelingkahan Tayyip dengan Gülen bermain di media, ahli-ahli Hizmet tidak terus menyalahkan Tayyip dalam hal ini, tetapi menyalahkan penasihat-penasihat beliau dan orang kanannya yang telah berjaya menghasut Tayyip dengan pelbagai hasutan tertentu supaya Tayyip anti kepada jemaah .Namun lama-kelamaan, Tayyip telah mula lantang dalam memburuk-burukkan jema'ah terutama Hizmet sendiri. Mereka mendakwa Tayyip mengguna ayat Al-Quran untuk mengaburi mata rakyat tentang kesalahannya dan menuding jari ke arah jema'ah tertentu. Mereka mendakwa Tayyip menggelar jemaah ini sebagai 'Haşaşi' (satu perkataan yang cukup buruk maksudnya), jemaah itu boleh pergi ke jahannam kerana menfitnah beliau terlibat dalam masalah yang berlaku di Turki. Dakwa mereka lagi, kata-kata Tayyip juga tidak terlepas dari perkataan kesat dan kufur. 


APAKAH TAYYiP MENGAMALKAN RASUAH? KRONISME? NEPOTISME?

Belum sampai 3 bulan, konspirasi demi konspirasi yang mengaitkan Tayyip, Anaknya Bilal dan Sümeyye Erdoğan, serta menteri-menterinya terus hangat di media dan menjadi bualan orang ramai. Beberapa bulan yang lalu, seluruh Turki dikejutkan dengan pembongkaran isu rasuah dalam pendedahan berbentuk rakaman suara (ses kaytı) yang melibatkan keluarga Tayyip sendiri. Hakikatnya, akibat Tayyip agak terlalu bebas dalam menerima ahli baru ke dalam parti, kini AK Parti dan kerajaan telah mula bersarang apabila mula dipenuhi dengan manusia-manusia yang bertopengkan musuh, anti jemaah dan orang-orang yang menunggu-nunggu untuk mengambil kesempatan pada bila-bila masa untuk meruntuhkan kerajaan dari dalam. 


Ses Kaytı, antara rakaman suara perbualan telefon yang mengaitkan  Tayyip.Ia telah mula tersebar di You Tube dengan pesat apabila  dipercayai wujud sebahagian pegawai perisik mendedahkannya

Anak Tayyip, Sümeyye Erdoğan dan Bilal Erdoğan turut dikaitkan dengan pendedahan rasuah berjumlah lebih
U$D 100 billion

Fail yang mengandungi lima rakaman audio perbualan antara Tayyip dan anaknya dari tempoh 26 jam selepas 17 Disember 2013 ,ia termasuk apabila Tayyip mengarahkan anaknya menyembunyikan jumlah wang yang sangat besar, kes sejumlah wang yang besar disimpan di rak kasut, perjanjian perniagaan rahsia Bilal dengan seorang pelampau Al-Qaeda dari Arab Saudi, Yasin Al-Qadi yang juga melibatkan ketenteraan Israel di sempadan Haifa. Semuanya telah didedahkan di YouTube beserta foto-fotonya dan telah dibincangkan secara meluas di media sosial. Pada 26 Februari 2014, Tayyip membuat pengakuan di dalam parlimen bahawa telefon beliau telah digodam tetapi menafikan bahawa perbualan itu adalah benar. Saat ini, musuh-musuh Tayyip mula mempermainkan R4BIA yang diperkenalkan oleh Tayyip sebagai 4 juta dolar. AK Parti pula telah digelar sebagai 'Ayakkabı Kutusu Partisi' (Parti Rak Kasut), merujuk kepada penemuan sejumlah wang dalam rak kasut.


Yasin Al-Qadi,
Pelampau Al-Qaeda dari Arab Saudi yang
dikaitkan dengan perniagaan rahsia dengan Bilal


Rakaman CCTV menunjukkan penglibatan Bilal dalam perjanjian rahsia
 dengan Yasin. Sehingga kini, kerajaan masih belum menafikan pendedahan ini


Pada malam 26 Februari, Parlimen Turki , yang dikuasai oleh Parti Tayyip ,telah meluluskan rang undang-undang yang membolehkan kerajaan berkuasa untuk menyekat laman-laman Internet ,tertakluk kepada kajian semula mahkamah dalam masa tiga hari, Satu lagi rang undang-undang yang telah diluluskan oleh jawatankuasa parlimen iaitu memberikan Mili istihbarat Teşkilatı (MiT) akses perkhidmatan perisikan untuk data yang disimpan oleh kerajaan, institusi swasta dan juga mahkamah. Pada hari berikutnya Presiden, Abdullah Gül meluluskan supaya diletakkan satu agensi penyiasatan yang berkuasa melantik hakim-hakim dan pendakwa di bawah kawalan Menteri Keadilan, Bekir Bozdağ. Pengkritik politik Turki menyifatkan keputusan ini adalah tidak adil dan bakal mendatangkan bahaya kepada AK Parti sendiri kerana, seandainya AK Parti tewas dalam Pilihanraya akan datang, kemudian CHP berkuasa, mereka berkuasa untuk menghumban semua musuh-musuh mereka ke dalam penjara seperti mana apa yang dilakukan oleh Gamal Abdul Naser terhadap ahli-ahli Ikhwanul Muslimin kerana Institusi Kehakiman sudah di dalam genggaman mereka (CHP). 

Menteri Keadilan Turki,
Bekir 
BOZDAĞ


SEKATAN MEDIA? 

Pada 20 Mac,Tayyip telah membuat keputusan untuk mengharamkan media sosial Twitter.Ia telah menimbulkan pelbagai reaksi baik dari rakyat Turki terutama anak muda dan lebih-lebih lagi masyarakat luar. Tayyip menjawab bahawa pihak Twitter bersikap 'double standard' apabila tidak mematuhi undang-undang. Beliau juga berkata penutupan itu bersifat sementara untuk memaksa Twitter membuka sebuah pejabat dan melantik seorang wakil di Turki bagi menghormati undang-undang Turki dan keputusan mahkamah. Beliau juga mempersoalkan mengapa Twitter boleh akur dengan peraturan negara-negara Eropah yang lain tetapi tidak Turki. Bagi penganalisis politik pula, pengharaman itu tidak kena pada masa memandangkan Pilihanraya semakin hampir dan akan memberi kesan buruk pada AK Parti dalam Pilihan raya nanti.

Belum sampai seminggu Twitter diharamkan, kini You Tube pula disekat kerana didakwa Sistem Keselamatan Turki telah diserang. Pengharaman ini sekali lagi mencetuskan kemarahan rakyat yang tidak mampu lagi menerima alasan yang sama seperti sekatan Twitter. Parti-parti pembangkang di Turki mendakwa, Tayyip hanya ingin berselindung disebalik pendedahan skandal dan rasuah yang melibatkan keluarganya. 

Twitter dan YouTube telah disekat oleh kerajaan Turki atas beberapa sebab. Facebook juga dikatakan bakal disekat juga jika didapati melanggar undang-undang Turki.



PENGUNDI TURKI DAN MALAYSIA: SATU TINJAUAN

Jika kita lihat di Malaysia, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mencipta rekod sebagai parti yang belum pernah tewas dalam semua Pilihanraya Umum sejak merdeka lagi. Pada saya, seteruk mana kita mengutuk
keburukan Barisan Nasional. Semua harus akui bahawa kerajaan zaman Allahyarham Tun Abdul Razak tidaklah sama berbanding kerajaan di bawah Dato' Seri Najib. Dari satu sudut usia pengundi, sebagai negara yang belum pernah bertukar tangan, pengundi-pengundi (warga emas) yang pernah merasa khidmat Tun Razak sebagai Ketua Negara pasti kini telah dididik dengan mind set 'mengenang jasa' dan 'berterima kasih'. Jadi oleh kerana mengenang jasa dan berterima kasih, maka undilah lagi Parti yang memberi jasa itu selama-lamanya kerana kalau nak undi parti lain, golongan ini tak yakin parti yang baru ini dapat memberikan jasa sepertimana yang Barisan Nasional ketika zaman Tun Razak dulu memberikan jasa.

Namun kalau kita lihat trend pengundi muda, mereka rata-ratanya dilahirkan pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir yang dilihat banyak kerosakan yang mula membengkak di dalam kerajaan. Mereka tidak pernah merasai khidmat pemimpin seperti Tunku, Tun Razak dan Tun Hussein. Jadi mind set 'mengenang jasa' dan 'berterima kasih' kurang timbul. Senang kata, mereka tidak sempat melihat Kerajaan yang agak bersih ketika zaman ibu bapa mereka dahulu. Oleh itu, mereka merasakan perubahan struktur pemerintah itu perlu dilakukan. 

Bagaimana pula di Turki? Kalau kita lihat di Turki sekarang rata-rata pengundi-pengundi muda ini mula hidup ketika zaman Tayyip mula berkuasa atau beberapa tahun sebelum itu. Lahir-lahir sahaja, mereka telah melihat pelbagai perubahan dan menikmati pelbagai kemudahan. Mereka tidak sempat melihat kerajaan yang korup di Turki seperti mana ibu bapa mereka lihat 20-30 tahun dahulu. Namun sejak tahun-tahun akhir ini terutama dengan sekatan media sosial yang tentunya melibatkan majoriti pengundi-pengundi muda, walaupun kerajaan memberi sebab, pengundi-pengundi muda tetap menuntut perubahan. Mungkin dengan menukar kerajaan juga.

Bagi pengundi yang berusia emas atau 30 tahun ke atas pula, mereka telah merasa derita ketika berada di bawah pemerintahan parti-parti terdahulu dan tentera. Oleh sebab itu, mereka telah menikmati pelbagai perubahan yang telah dilakukan Tayyip sepanjang 10 tahun ini. Malah ada dikalangan mereka apabila kita menyebut tentang rasuah yang melibatkan AK Parti, mereka menjawab tidak mengapa sebab dulu lagi teruk rasuahnya. Inilah yang menariknya apabila negara bertukar tangan. Maka akan ada penilaian dari pengundi untuk mengukur parti mana yang sudah ada rekod buruk sebagai pemerintah dan sebaliknya.

Hal ini bermakna, anak muda Malaysia mahukan perubahan kerana belum pernah merasa nikmat kerajaan yang sama juga tapi lebih bersih seperti mana ibu bapa mereka perolehi. Anak muda Turki pula mahukan perubahan mungkin kerana mereka belum pernah merasakan derita kerajaan yang terdahulu.

Pengundi warga emas di Malaysia pula terutama orang Melayu tidak memerlukan banyak perubahan kerana yakin Kerajaan sekarang masih bersih seperti Kerajaan yang sama juga ketika mereka muda-muda dahulu. 
Oleh kerana kenang jasa, maka kerajaan yang sama perlu dikekalkan. Manakala pengundi warga emas Turki pula merasakan kerajaan sekarang perlu dikekalkan kerana mereka sudah menderita dengan kerajaan lama ketika mereka muda-muda dahulu. (2 point ni sama seperti atas, hanya mengulangi point diatas dengan lebih ringkas). 

Konklusinya, pertukaran kuasa akan melahirkan politik dan rakyat yang lebih matang. Kalau ditanya kepada Parti-parti seperti CHP yang pernah ada rekod buruk ketika dahulu apakah yang mereka akan lakukan. Pasti mereka akan memikirkan bagaimana generasi Turki akan datang buta kepada sejarah korupsi mereka dengan menawarkan idea-idea segar, baru, mesra orang muda, sambil mengharapkan AK Parti terus terpalit dengan skandal dan tuduhan. Di Amerika Syarikat atau di Inggeris, pertukaran kuasa adalah perkara biasa. Setiap kali parti yang tewas akan muhasabah dan merangka semula kekuatan mereka untuk mencuba sekali lagi.


RUMUSAN

Tayyip telah berkuasa lebih dari 10 tahun. Kali ini merupakan Pilihanraya bersejarah bagi AK Parti kerana mereka kerana buat kali pertama, mereka bakal kehilangan banyak undi dari pengundi-pengundi yang berlatar belakangkan pemikiran Hizmet. Namun jika ia terjejas sekalipun, hanya 8-10 % sahaja. Dalam perlembagaan AK Parti, seorang Perdana Menteri hanya boleh berkuasa selama tiga penggal. Tayyip sudah di penggal ketiga. Tetapi ia hanya perlembagaan parti, bukan Turki. sekiranya ahli dan penyokong masih mahukan lagi Tayyip, beliau boleh menyambungnya lagi walaupun ada desas-desus beliau ingin bertanding untuk jawatan presiden. Ini kerana antara kejayaan strategi kejayaan AK Parti sepanjang pilihanraya ialah, mereka berjaya menonjolkan Tayyip sahaja mereka sebagai calon ketua negara kepada rakyat. Semua kempen, lagu-lagu parti dan semua bahan-bahan kempen hanya menampal wajah Tayyip. Oleh itu rakyat yakin kerana rakyat ingin melihat siapa yang bakal memimpin. Hal ini berbeda dengan apa yang berlaku di Malaysia, apabila Pakatan Rakyat masih tidak memutuskan siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri
seandainya mereka berjaya ke Putrajaya. Sekejap Dato' Seri Anwar, kemudian ada pula yang nak Tuan Guru Haji Hadi. Oleh kerana itu, walaupun ia adalah mainan media, tetapi rakyat kurang yakin kerana masih keliru dengan siapa bakal calon yang akan memimpin negara mereka. 

Kebiasaannya, pemimpin hebat tidak selama-lamanya hebat. Bagi sebuah negara yang rakyatnya matang, pemimpin bagaikan seorang ayam tambatan pasukan bolasepak, rakyat bagaikan pengurus pasukan, penyokong dan pasukan bagaikan sebuah negara. Seorang pemain yang telah menjaringkan banyak gol, telah banyak membantu pasukan menjuarai pelbagai kejuaraan. Pengurus pasukan terus memberi tempat sebagai kesebelasan utama. Namun lama-kelamaan, ayam tambatan yang sering menjadi wira itu semakin berusia, kecederaan pula mula menimpa. Demi penyokong dan pasukan, walaupun bekas ayam tambatan itu telah berjasa selama berbelas-belas tahun untuk pasukan ,namun pengurus terpaksa juga mengenepikannya  dari tersenarai dalam kesebelasan utama lagi dan menggantikan dengan pemain yang dilihat lebih berpotensi. Ini bermakna demi maruah pasukan, jasa tidak dipandang lagi.

Hal yang sama juga untuk pemimpin, pemimpin yang membawa reformasi dan transformasi dalam negara. Rakyat akan terus memberi mandat kepadanya untuk terus berkuasa. Namun lama-kelamaan, pimpinannya mula lemah, korupsi mula menjangkiti. Demi masa depan mereka sendiri dan maruah negara, walaupun pemimpin ini telah berjasa dan menunjukkan prestasi terbaik sepanjang belas-belas tahun, namun dia tidak boleh diberi undi lagi dan menggantikan dengan calon pemimpin yang dilihat lebih layak untuk memimpin. Ini bermakna demi masa depan dan maruah negara, jasa tidak dipandang lagi.

Untuk kali ini, sebanyak 26 parti yang bertanding. Dengan AK Parti, CHP, dan MHP dijangka akan menduduki tiga parti teratas dalam peratusan undi. Peratusan pengundi kepada parti-parti kecil juga dijangka akan meningkat akibat pecahan undi dari AK Parti. Politik Turki amat sukar dan pening untuk dianalisa. Saya berharap dan mendoakan agar Tayyip tidak akan menjadi seperti beberapa pemimpin dunia termasuk negara saya yang di luar menjadi hero Islam tetapi, menjadi malapetaka pada rakyat sendiri. 

Saya sudah memuji dan mengkritik Tayyip. Saya juga telah memuji dan mengkritik Gülen. Harap anda semua membaca banyak lagi mengenai Turki sebelum membuat apa-apa konklusi. Apapun yang berlaku, hanya rakyat Turki yang akan membuat keputusan.

Saya mendoakan agar AK Parti menang dengan pengurangan undi popular supaya mereka mengambil pengajaran. Anda pula bagaimana? Sama-sama kita saksikan kesudahannya.

Wassalam.


HALA TÜRKİYE.

No comments:

Post a Comment