Friday 4 April 2014

Recep Tayyip Erdoğan

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 

Alhamdulillah, segala pujian hanya berhak bagi Allah, Yang Memiliki Hari Pembalasan. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, Ummahatul Mu'minin, serta para sahabat baginda sekaliannya.

Alhamdulillah kita masih diberi ni'mat oleh Allah S.W.T untuk terus merasai kehidupan dunia. Mudah-mudahan dengan nikmat yang masih diberikan olehNya akan menjadikan kita  hamba yang bersyukur. Disamping kita masih lagi mengharapkan pertolongan Allah ke atas tragedi pesawat MAS MH370 walaupun berita buruk mengenainya telahpun diumumkan. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan berita yang mendukacitakan kita apabila mahkamah Mesir telah menjatuhkan hukuman mati  ke atas 529 orang pemimpin dan pengikut Ikhwanul Muslimin atas alasan yang memang sudah dijangka. Moga Allah tempatkan mereka bersama para syuhada' dan memberikan kekuatan kesabaran pada keluarga mereka. 

Tahun ini merupakan tahun yang bersejarah bagi seorang pelajar yang lemah seperti saya. Mana tidaknya, tahun ini saya bakal merasai Pilihanraya Perandaran Turki buat kali pertama dalam hidup saya. Namun setiap kali saya ingin menulis mengenai Turki, saya tidak dapat lupakan seorang insan yang amat bermakna dalam hidup saya iaitu abang saya Allahyarham Ahmad Ammar. Mudah-mudahan Allah menempatkan beliau bersama ahli-ahli syurga. Di saat menikmati musim bunga di Kota Istanbul, bahang Pilihanraya semakin terasa dengan kempen-kempen parti-parti politik di Turki yang telah melibatkan semua lapisan masyarakat di Turki. Semalam merupakan hari terakhir untuk parti-parti politik berkempen dengan menerangkan maifesto serta janji-janji manis mereka, penuh kebebasan samada dari parti kerajaan mahupun parti-parti pembangkang. 

Oleh itu, saya bertekad untuk menulis sebuah catatan ringkas mengenai seorang tokoh pemimpin di Turki yang masih berkuasa sebagai Orang nombor satu. Beliau tidak lain tidak bukan ialah Recep Tayyip Erdoğan. Siapa tidak kenal sosok yang semakin meningkat nama di persada antarabangsa pada hari ini? Apapun, saya tidak akan terangkan mengenai peribadi penuh beliau, cuma ia hanya lebih berbentuk pandangan peribadi saya terhadap kepimpinan beliau dari beberapa sudut. Beliau pada hari ini semakin menjadi perbualan,perdebatan dan tidak terlepas juga dari kritikan dunia baik daripada kumpulan yang memang dilihat sentiasa menyanjung tinggi beliau sebagai penyelamat dunia Islam, mahupun musuh-musuh beliau yang sentiasa mencari peluang untuk membuktikan beliau sebagai seorang diktator. Namun kata kuncinya ialah beliau semakin menjadi tajuk utama kedua-dua pihak ini. 


Perdana Menteri Turki,
Recep Tayyip
 ERDOĞAN

Untuk menulis mengenai beliau, saya terpaksa membaca, menonton, mencari, bertanya dari pangkat ahli politik yang saya kenal atau yang saya diperkenalkan sehinggalah rakyat biasa. Ia amatlah sukar kerana anda akan terpaksa menyelami diri serta berfikir bagaimana sebagai seorang ahli politik menilai beliau, anda terpaksa menyelami fikiran seorang ahli korporat, tentera, ahli bisnes, rakyat miskin, orang jemaah, dan yang paling penting ialah menyelami pandangan musuh-musuh beliau baik dari dalam dan luar Turki terhadap beliau. Namun sebelum memulakan catatan ini, saya berlepas diri dari segala sikap fanatik, ta'asub yang melampau dan lain-lain yang seumpama dengannya. Selain itu, dalam catatan saya ini, saya akan bahasakan beliau sebagai Tayyip (bukan Erdoğan) kerana rakan-rakan rapat beliau juga sering menggunakan nama itu bilamana merujuk kepada beliau.

Tayyip telah dibesarkan oleh keluarga yang cukup sederhana serta menikmati kehidupan kampung yang amat jauh dari kekayaan di daerah Kasımpaşa. Oleh sebab itu, beliau tidak pernah kekok apabila bertemu masyarakat di kampung-kampung kerana memang beliau telah dibiasakan dari kecil dengan suasana demikian. Beliau antara beberapa pemimpin dunia yang memiliki pendidikan asas agama memandangkan beliau merupakan lepasan Imam Hatip (boleh juga dikategorikan sebagai sekolah agama di Turki) dan kemudian meneruskan pengajiannya dalam fakulti ekonomi dan pentabiran di  Sekolah Ekonomi dan Sains Komersial Aksaray, yang kini dinamakan sebagai Universiti Marmara. Beliau dan mentornya yang juga pernah memegang tampuk kuasa di Turki dalam tempoh tidak sampai setahun akibat digulingkan oleh tentera, Al-Marhum Prof Dr. Necmettin Erbakan ialah antara beberapa graduan lepasan Imam Hatip yang kemudiannya terjun dalam dunia politik. Dr. Necmettin menjadikan Tayyip seperti anak emas beliau sewaktu bersama dalam Refah Partisi. Tidak ketinggalan, Presiden Turki sekarang, Abdullah Gül, Bülent Arınç serta beberapa pemimpin lain turut bersama pada waktu itu. Mereka telah berjaya membentuk kerajaan pada tahun 1997. Namun oleh kerana Dr. Erbakan seorang pemimpin yang agak radikal, tegas, jelas dengan agenda islamnya di Turki, disamping ekonomi Turki masih kacau bilau, maka dalam tempoh 9 bulan, beliau dan kerajaannya telah digulingkan oleh tentera. Beberapa bulan kemudian kemudian, Tayyip telah dituduh menanamkan kebencian dalam beragama pada 1998 berikutan mengubahsuai sajak nukilan Ziya Gokalp 1913. Oleh itu bekas Datuk Bandar Istanbul antara tahun 1994 hingga 1998 ini telah dipenjarakan selama 10 bulan.

Dr. Necmettin ERBAKAN

Tayyip ketika masih bersama dengan Erbakan
Tayyip sewaktu dalam tahanan selama 10 bulan


Pilihan raya umum Turki pada 3 November 2002 merupakan kali pertama Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalet ve Kalkınma Partisi, AK Parti) diterajui Tayyip. AK Parti menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kelemahan ekonomi tradisional, gempa bumi 1999 dan isu-isu besar lain. AK Parti juga pada mulanya agak berhati-hati dalam usaha ingin memperkenalkan agenda Islam kerana dimbimbangi tentera akan melakukan tindakan serupa seperti mana rampasan kuasa ke atas Dr. Erbakan. Pada Pilihan raya tersebut (2002), AK Parti telah berjaya meraih 34.3% undi tetapi Tayyip dihalang menjadi Perdana Menteri kerana pelbagai 'kesalahan' sebelum ini termasuk mengubahsuai sajak Ziyad Gokalp 1913. Sebaliknya Abdullah Gül menjadi Perdana Menteri sehingga Tayyip layak bertanding pilihan raya kecil pada 2003 dan menjadi ahli parlimen. Abdullah Gul kemudian memberi 'lorong' kepada Tayyip, dan dilantik menjadi Perdana Menteri oleh Presiden Turki ketika itu, Ahmet Necdet Sezer .Pada Pilihan raya umum Turki 2007, Tayyip dan AK Parti mengekalkan kuasa dengan memenangi 46.7% undi popular, kali kedua AK Parti menang dengan undi lebih besar. Pada Pilihan raya umum Jun 2011 pula, mereka menang lebih besar lagi dengan 49.8% undi. 
AK Parti, parti terkuat setakat ini yang telah berjaya
 memenangi semua Pilihanraya umum sejak ia ditubuhkan

Presiden Turki,
Abdullah
 GÜL


APA YANG TAYYIP BUAT PADA AWAL 10 TAHUN? MENGAPA SAYA KAGUM PADA BELIAU ?

Jelas sekali bahawa, Tayyip telah membawa banyak perubahan drastik sejak menerajui Turki 10 tahun yang lalu. Di sini kita akan dapat lihat beberapa kejayaan besar beliau dari beberapa sudut yang mana agak mustahil untuk pemimpin-pemimpin lain lakukan dalam negara yang sedang runtuh segala-galanya (antara pemerintahan selepas Erbakan dan sebelum Tayyip).


1. EKONOMI

-Menguatkuasakan dasar makro ekonomi. Tayyip cuba untuk menarik lebih ramai pelabur asing ke Turki  dan mengangkat banyak peraturan-peraturan kerajaan.

-Aliran tunai panas (hot cash flow) ke dalam ekonomi Turki antara 2002-2012 menyebabkan pertumbuhan  64% dalam KDNK (real growth) dan peningkatan 43% dalam KDNK per kapita yang jauh lebih rendah  daripada biasa. Oleh itu, pertumbuhan tahunan purata KDNK per kapita adalah yang sebenar 3.6% , yang  dijangka untuk ekonomi membangun yang untuk keluar dari krisis kewangan.

-Kedudukan ekonomi Turki dari segi KDNK berubah dari 17 sahaja kepada 16 dalam dekad ini . Kesan  sampingan yang utama dasar-dasar antara 2002-2012 ialah telah melebarnya defisit akaun semasa daripada  600 juta USD kepada 48 bilion USD. 

-Pertumbuhan KDNK antara 2002-2012 adalah lebih tinggi daripada berbanding negara-negara maju ,        tetapi ia hampir kepada purata apabila negara-negara membangun diambil kira.

-Sejak tahun 1961, Turki telah menandatangani 19 perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Kerajaan telah memenuhi keperluan belanjawan dan pasaran mengikut tempoh dan kadar yang ditetapkan  serta menerima setiap ansuran pinjaman , belum pernah wujud mana-mana kerajaan yang pernah berbuat  demikian. Saat Tayyip mula menduduki kerusi Perdana Menteri pada hari pertama, negara sedang mewarisi  hutang $ 23.5 billion dari IMF, kemudian telah dikurangkan kepada $ 0.9 bilion pada tahun 2012. Beliau  memutuskan untuk tidak lagi menandatangani perjanjian baru. Hutang Turki dengan IMF telah diisytiharkan  langsai dan dibayar sepenuhnya. Beliau mengumumkan bahawa IMF boleh meminjam dari Turki

-Pada tahun 2002 , Bank Pusat Turki hanya memiliki $ 26.5 billion dalam rizab. Jumlah ini berganda    sehingga mencapai $ 92.2 billion pada tahun 2011.

-Pada tahun 2010, Lima tahun 'credit default swaps' hutang kerajaan Turki telah diniagakan pada rekod  yang rendah 1.17% , termasuk di bawah mereka terdiri daripada sembilan  negara anggota Kesatuan  Eropah (EU) dan Rusia. Kadar pengangguran menurun daripada 10.3% kepada 9.7% pada tahun 2007 .  Namun akibat krisis ekonomi global tahun 2008, kadar pengangguran Turki melonjak kepada rekod yang  tinggi sebanyak 16.1% dalam tempoh Januari-Mac tahun 2009. Dalam tempoh April- Jun 2010, kadar  pengangguran mula menurun semula kepada 11.0 %, berbanding dengan 10.0% dalam zon euro. Pada Mei  2012, kadar pengangguran di Turki turun lagi kepada 8.2 peratus, ia adalah rekod paras terendah sejak 10  tahun lalu.

-Kadar inflasi menurun daripada 70% kepada 3.9% pada April 2011, yang terendah sejak 40 tahun.

-Mencapai rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam sejarah Turki iaitu hampir 8.5% pada 2010.

-Tersenarai diantara kedudukan ekonomi terbaik di Eropah.



2. PENDIDIKAN

-Dalam tempoh awal Tayyip menjadi Perdana Menteri ,beliau telah meningkatkan belanjawan Kementerian    Pendidikan dari 7.5 bilion lira pada 2002 kepada 34 billion lira pada tahun 2011, menjadikannya  kementerian yang memperolehi belanjawan tertinggi negara berbanding Kementerian Pertahanan  sebelumnya.

-Pendidikan wajib telah dinaikkan daripada 8 tahun kepada 12 tahun.

-Pada tahun 2003, kerajaan Turki dengan kerjasama UNICEF telah memperkenalkan kempen 'Haydi kızlar  Okula!' yang bermaksud "Ayuh gadis-gadis, mari kita pergi ke sekolah!" Matlamat kempen ini adalah untuk  menutup jurang gender enrolmen sekolah rendah melalui penyediaan pendidikan asas yang berkualiti bagi  semua kanak-kanak  perempuan , terutama di kawasan tenggara Turki. 

-Pada tahun 2004 ,semua buku teks adalah percuma.

-Pada tahun 2008, setiap wilayah di Turki telah membina universiti sendiri. Ini bermakna sejak Tayyip  berkuasa, bilangan universiti di Turki yang dibina hampir dua kali ganda, daripada 98 pada 2002 kepada  186 pada Oktober 2012.

-Tayyip telah menunaikan  janji-janji beliau apabila memulakan projek fatih di mana semua sekolah-sekolah  kerajaan yang bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat sekolah tinggi akan menerima sejumlah  620,000 papan pintar (smart board), manakala komputer tablet akan diagihkan kepada 17 juta orang  pelajar, satu juta guru dan pentadbir.



3. KESIHATAN

-Pada April 2006, Tayyip mengumumkan pakej pembaharuan keselamatan sosial yang dituntut oleh Tabung  Kewangan Antarabangsa di bawah perjanjian pinjaman. Badan-badan keselamatan sosial Turki tiga telah  bergabung di bawah satu bumbung, membawa perkhidmatan kesihatan yang sama rata dan faedah  persaraan untuk ahli-ahli ketiga-tiga badan.

-Dalam rang undang-undang kedua ,semua orang di bawah umur 18 tahun akan layak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan percuma, tidak kira sama ada mereka membayar   premium kepada mana-mana organisasi keselamatan sosial atau tidak.

-Rang undang-undang juga menjangka peningkatan beransur-ansur dalam umur persaraan. Bermula dari  tahun 2036, umur persaraan dijangka akan meningkat kepada 65 tahun sehingga 2048 bagi  kedua-dua  wanita dan lelaki.

-Kerajaan menyatukan tiga sistem hospital dan insurans untuk profesion yang berbeza. Ia dikritik kerana  menawarkan faedah yang tidak sama rata apabila kakitangan awam  mendapat perkhidmatan daripada  hospital yang terbaik manakala orang lain terpaksa menunggu dalam giliran yang amat panjang serta tempoh  yang lama.

-Kadar pengguguran yang terlalu tinggi sebelumnya semakin menurun. Tayyip pernah berkata bahawa  pengguguran adalah pembunuhan. Kata beliau: "Eğeranne karnında bir bebek öldürmek ya da doğumdan  sonra onu öldürmek . Hiçbir fark yoktur ".Yang bermaksud "Anda (ibu yang menggugurkan bayi) sama  sahaja samada membunuh bayi di dalam rahim atau membunuh bayi setelah dilahirkan, tiada beza".

-Pada Januari 2008 , Parlimen Turki telah mengguna pakai undang-undang mengenai larangan merokok di  kebanyakan tempat awam. Tayyip secara jelas adalah anti merokok.



4. HAK ASASI MANUSIA

-Terdapat beberapa percubaan untuk meminda Perlembagaan Turki  1982 dengan " perlembagaan lebih    berbentuk merakyatkan". Namun ia gagal kerana mendapat tentangan parti-  parti pembangkang utama  seperti  Parti Republik Rakyat (Cumhuriyet Halk Partisi), CHP dan Parti Kebangsaan dan Gerakan  (Milliyetçi Hareket Partisi), MHP . Namun selepas mereka kehilangan referendum pada tahun 2010, Parti  CHP bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlembagaan yang antaranya membenarkan penyertaan  semua parti-parti politik dalam parlimen Turki, serta merangka draf baru untuk perlembagaan Turki.

CHP dan MHP antara 2 parti terbesar di Turki setelah AK Parti

-Saat Tayyip mula memerintah, beliau telah memulakan proses inisiatif demokratik, dengan matlamat untuk  meningkatkan taraf demokrasi secara umum 

-Hak-hak minoriti etnik dan agama khususnya, juga telah dimulakan.

-Di bawah Tayyip, Kerajaan Turki mengetatkan undang-undang mengenai penggunaan dan penjualan arak ,seperti mengharamkan semua iklan yang bertujuan meningkatkan cukai ke  atas minuman alkohol itu. Beliau  memberikan alasan supaya tidak mahu melihat kesihatan dan masa depan anak-anak muda serta generasi  akan datang terjejas.

-Antara kandungan pakej Demokrasi yang telah diumumkan ialah pemansuhan larangan untuk wanita  berhijab. Ini bermakna, wanita-wanita yang ingin bertudung tidak perlu risau dengan apa-apa sekatan.  



5. INFRASTRUKTUR DAN PENGAKUTAN

-Di bawah kerajaan Tayyip, jumlah lapangan terbang meningkat daripada 26 kepada 50.

-Di antara penubuhan Republik Turki pada tahun 1923 sehingga 2002 ,hanya terdapat 6000 km dual  carriageway sahaja yang dibina. Namun sejak tahun 2002 hingga 2011,Tayyip hanya memerlukan masa 9  tahun untuk menambah 2 kali ganda jarak tersebut sehingga 13500 km yang telah berjaya dibina,  menjadikan jumlah keseluruhan sejauh 19500 km.

-Dengan langkah-langkah tersebut, bilangan kemalangan kereta jatuh sebanyak 50 peratus.

-Garis kelajuan tinggi kereta api telah dibina. Pada 2009, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di Turki  mula beroperasi. Dalam masa 8 tahun, kereta api sejauh 1076 km telah dibina dan kereta api sejauh 5449  km telah diperbaharui. Ini merupakan rekod terbaik dalam sejarah Turki.

-Marmaray dibina, sebuah terowong kereta api undersea di bawah selat Bosphorus itu telah mula dibina    pada tahun 2004. Ia akan menjadi dasar laut terowong tiub tenggelam paling dalam di dunia.

-Setakat ini, tidak kurang dari 10 pengakutan awam dengan fasiliti yang baik, tempoh masa yang pantas,  telah disediakan. Dengan nilai yang sangat murah, tiada mana-mana golongan yang tidak mampu  membayarnya.



6. DASAR LUAR

Maaf kerana saya tidak larat untuk menulis banyak mengenai dasar luar yang digunapakai oleh kerajaan Turki. InsyaAllah saya akan bentangkannya pada akhir bulan 4 nanti terutama dasar luar yang melibatkan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), Iran, China serta bagaimana pendirian terkini Turki terhadap Mesir, Syria dan Israel. Tidak lupa juga bagaimana pendekatan beliau dalam menyelesaikan masalah dalaman seperti isu rakyat Armenia dan Kurdi. Dalam pembentangan itu juga nanti saya akan cuba jelaskan pakej demokrasi yang telah diumumkan oleh Tayyip akhir tahun lalu. 



DAVOS 2009, "ONE MINUTE"

Setelah kejayaan demi kejayaan yang telah berjaya dipamerkan oleh Tayyip kepada dunia melalui kedudukan politik yang sudah stabil, ekonomi yang sedang kukuh, beliau mula bersuara semula mengenai apa yang berlaku di Palestin dan negara-negara yang masih dijajah samada negara-negara Islam atau di negara-negara miskin seperti di afrika. Selain itu, beliau semakin menunjukkan taringnya apabila mula mengkritik keras pemimpin-pemimpin arab yang mengambil sambil lewa terhadap kebebasan dan bisu terhadap apa yang sedang berlaku pada umat Islam yang ditindas. Pada 2009, ia menjadi tarikh yang tidak mampu dilupakan oleh umat Islam. Dalam satu forum yang telah dikendalikan oleh World Economic Forum, ia telah membariskan ahli-ahli panel antaranya ialah Tayyip selaku Perdana Menteri Turki, Shimon Peres selaku Presiden Israel, Amr Mousa mewakili Liga Arab dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Dalam forum itu, Tayyip dengan tegas mengutuk Israel yang disifatkan langsung tidak berperikemanusiaan apabila membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak, wanita, orang tua yang tidak bersalah. Tayyip dengan garang menggelar Shimon sebagai pembunuh. Dalam forum itu juga, Tayyip diberikan tempoh masa yang lebih kurang untuk berhujah berbanding Shimon, ketika mana beliau sedang berhujah, moderator mencelahnya. Tayyip yang tidak mahir berbahasa Inggeris terus berkata kepada moderator 'one minute' (satu minit) supaya beliau dapat habiskan penyampaiannya. Oleh kerana moderator disifatkan sebagai berat sebelah, akhirnya Tayyip telah mengejutkan semua apabila bertindak bangun dan meninggalkan pentas sebagai tanda tidak puas hati. Saat beliau tiba di lapangan terbang di Istanbul, beliau telah disambut sebagai wira, dunia Islam sudah tidak lagi mengharapkan Mahmoud Ahmadinejad, bekas Presiden Iran untuk menerajui suara umat, tetapi adalah Erdoğan!.Sehingga hari ini, rakyat Turki yang tidak tahu berbahasa inggeris telah mempelajari satu perkataan inggeris iaitu 'one minute'.


Tayyip ketika berdebat dengan Shimon ketika forum di Davos pada 2009


MAVI MARMARA 2010

Mavi Marmara, merupakan kapal yang mengibarkan bendera Turki yang telah ditembak oleh tentera Israel, membawa sekitar 563 sukarelawan dari 31 negara termasuk Malaysia. Kapal tersebut merupakan salah satu dari 6 kapal yang bergabung dengan armada The Freedom Flotilla.Tujuannya adalah untuk memberikan bantuan kemanusiaan serta membebaskan Gaza dari Blokade yang diterapkan Israel sejak Hamas berkuasa pada tahun 2007. Misi tersebut telah disertai oleh ramai aktivis pro palestin dari serata dunia, bukan itu sahaja, beberapa orang personaliti terkenal seperti pemenang nobel keamanan, sastrawan, penulis filem, dan wartawan. Menteri Luar Turki, Dr. Ahmet Davutoğlu telah mendesak kerajaan Israel agar memohon maaf secara terbuka serta memberi penjelasan terhadap apa yang berlaku serta. Saya yakin sukarelawan-sukarelawan hebat Malaysia lebih arif dan maklum mengenai mavi marmara kerana mereka sendiri telah meredahnya. 

Rakaman menunjukkan tentera Israel sedang
 menembak ke arah kapal Mavi Marmara

Menteri Luar Turki
Dr. Ahmet
 DAVUTOĞLU

GEZI PARK 2013

Rasanya peristiwa ini juga agak sukar untuk dilupakan. Ia telah bermula dengan protes dan penentangan terhadap Pemerintah Turki bermula pada 27 Mei 2013 di sebuah kawasan yang terletak di Istanbul iaitu Taksim Square. Protes ini tercetus apabila sekelompok warga Turki yang menamakan diri mereka sebagai kumpulan ‘pecinta alam’ atau environmentalist tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa memotong sekurang-kurangnya 10 buah pokok yang memang nak hampir mati di kawasan tersebut bagi tujuan pembaharuan. Kerajaan juga akan menggantikan pokok yang lain dikawasan itu juga, Maka demonstarsi kecil-kecilan pun bermula. 

Pada 4 Januari 2012 iaitu di mana Majlis Perbandaran Beyoglu telah meluluskan sebuah projek pembangunan semula di kawasan Taksim Gezi Park di mana sebelum ini di kawasan tersebut terletaknya sebuah berek tentera empayar Uthmaniyah yang dibina pada tahun 1806 ketika di bawah pemerintahan Sultan Selim III.

Oleh itu Tayyip telah mengambil keputusan untuk membina semula berek askar Uthmaniyah yang dinamakan sebagai ‘Topcu Kislasi’ di kawasan yang sama dan turut menambahbaikkan kawasan pejalan kaki. Projek ini sebenarnya tidak akan merosakkan kawasan hijau (tumbuh-tumbuhan) di Taksim seperti yang diuar-uwarkan sebaliknya mencantikkan lagi kawasan hijau tersebut. Projek ini terus mendapat penentangan dan terjadilah demonstrasi yang pada awalnya bermula dengan aman. 

Ketika saya berpeluang bertemu dan bercakap dengan Dr. Ahmet Davutoğlu tahun lepas, inilah persoalan utama yang bermain di fikiran saya. Saya telah mengikuti temu bual penuh beliau yang telah disiarkan oleh stesen TV Al-Jazeera. Beliau telah memberi jawapan yang secara 360 darjah berbeda dengan apa yang ramai pihak laporkan. Beliau menyatakan ada 5 kumpulan yang terlibat dalam demonstrasi ini.

1.Pencinta Alam. Katanya sesiapa sahaja boleh buat berdemonstrasi kerana negara ini mengamalkan    kebebasan dalam demokrasi.

2. Pelajar

3. Pekerja 

Kesemua tiga-tiga kumpulan ini hanya bertindak berkumpul beramai-ramai secara aman. Pasukan keselamatan pula tidak terlalu ketat dalam mengawal mereka kerana tiada bahaya yang akan mereka cetuskan. Tetapi bila diteruskan dengan kumpulan seterusnya iaitu:

4. Pencetus Provokasi.

5. Pihak Antarabangsa.

Sebenarnya jika diperhatikan para pendemonstran tersebut bukanlah melakukan protes kerana menentang projek Kerajaan kerana mereka turut memahami bahawa isu tersebut bukanlah sebuah isu yang besar sehingga mendapat liputan antarabangsa sebaliknya mereka tidak berpuas hati dengan undang-undang baru Turki yang mengharamkan penjualan arak pada jam 10 malam sehingga jam 6 pagi serta tidak dibenar menjualnya di kawasan yang berdekatan dengan Masjid dan Sekolah kecuali di sekitar kawasan perlancongan. Hal ini terbukti apabila mereka membuat demonstrasi dengan mengotorkan rumah ibadat, meminum arak dan berzina di hadapan awam secara beramai-ramai dengan sengaja. Apakah media antarabangsa melaporkan ini? Anda jawab sendiri. Kedua-dua pihak inilah yang telah menjadi punca demonstrasi berlarutan sehingga pasukan keselamatan terpaksa bertindak keras terhadap mereka. Dr. Davutoğlu juga bila ditanya apakah Turki gusar dengan kebebasan media, beliau menjawab "Saya tidak risau dengan kebebasan media, namun saya risau dengan media yang tidak menghormati etika media". Beliau mempersoalkan lagi, mengapa jumlah media yang melaporkan tentang Turki jauh lebih banyak berbanding media yang melaporkan mengenai kekejaman Bashar terhadap rakyat Syria.

Di samping itu, demonstrasi yang pada asalnya kerana menentang projek Kerajaan itu telah bertukar menjadi demonstrasi untuk menggulingkan Kerajaan sah Turki apabila pihak pembangkang Turki yang melihat permasalahan ini merupakan berita baik bagi agenda politik mereka dengan menyelit isu-isu negara bagi meniupkan lagi api kebencian terhadap pihak Kerajaan. Kebanyakan parti-parti pembangkang di Turki seperti CHP dan MHP telah bersatu berdemonstrasi sehinggalah merebak ke seluruh Negeri di Turki seperti Ankara, Izmir dan Antalya. Para demonstran pula terdiri daripada mereka yang berbeza ideologi seperti sekularis, komunis, Alawi (Syiah) dan sebagainya. Mereka juga menggunakan senjata-senjata yang bahaya apabila berhadapan dengan pasukan keselamatan. Hal ini menyebabkan polis terpaksa bertindak lebih agresif bagi meredakan keadaan. Kebanyakan para demonstran juga tidak kurang dari disertai oleh orang-orang luar. Bila disiasat, setiap 20 orang yang ditangkap, akan ada 5-6 orang yang bukan rakyat Turki tetapi dari negara luar seperti Rusia dan Iran.

Demonstrasi ini tentunya telah dirancang oleh Ketua parti Pembangkang dari parti CHP iaitu Kemal Kılıçdarouğlu .Seimbas tentang parti CHP ini, ianya ditubuhkan pada tahun 1919 oleh Presiden pertama Turki juga seorang yang bertanggungjawab terhadap runtuhnya Empayar Uthmaniyyah, iaitu Mustafa Kemal Ataturk. Parti ini berideologi sekular-liberal yang agak berbeda dengan sekular tradisi barat (sekular revolusi Perancis iaitu tiada sebarang percampuran di antara politik dan agama serta rakyat bebas untuk mengamalkan agama masing-masing) kerana sekular ala kemalist lebih bersifat kejam dengan dengan menggunakan kuasa untuk menentukan amalan dalam agama. Pemerintahan mereka ini bersifat ketenteraan.


Ketua Pembangkang dan Ketua Umum CHP,
Kemal 
KILIÇDAROUĞLU

Ketua Umum MHP,
Devlet 
BAHÇELİ

Walaubagaimanapun parti CHP telah mengalami kekalahan yang teruk bagi sesi Plihanraya Turki pada tahun 1979 dan Kerajaan bertukar tangan di bawah pemerintahan Parti Keadilan (Adalet Partisi, AP). Kekalahan tersebut telah menyebabkan parti CHP terus menjadi lemah dan tewas dalam semua pilihanraya. Tetapi itu bukanlah suatu permasalahan yang besar buat mereka (CHP) kerana parti-parti yang memerintah Kerajaan Turki ketika itu mengamalkan prinsip dan ideologi yang tidaklah jauh berbeda dengan CHP sehinggalah pada tahun 2002 apabila dunia melihat kejayaan AK Parti yang semakin lama dilihat pro kepada Islam mendapat kemenangan dengan meraih undian sebanyak 10.7 juta. Derita ini ditambah pula dengan Tayyip dipilih sebagai Perdana Menteri Turki.

Pihak pembangkang di Turki sebenarnya mengetahui bahawa sukar bagi mereka mendapat kemenangan pada pilihanraya yang berikutnya sehinggalah mereka terpaksa menggunakan cara ‘revolusi’ tetapi berselindung di sebalik nama ‘demonstrasi rakyat’.

Pihak media antarabangsa seperti BBC, CNN, Reuters, dan lain-lain juga tidak jujur dan berniat jahat apabila membuat liputan mengenai Gezi Park. Mereka kononnya menyiarkan gambar polis menembak secara sengaja, rakyat ramai mahukan Tayyip letak jawatan, mereka mengambil gambar-gambar perhimpunan yang lama-lama atau di tempat lain kemudian menampalkan Gezi Park sebagai tajuk utamanya. Ada juga gambar ketika acara maraton yang diadakan setiap tahun di Turki diambil oleh media asing dan mengaitkan dengan perhimpunan menggulingkan kerajaan. 


Foto ini tidak dapat dipastikan sendiri oleh media
 antarabangsa samada ia ditangkap ketika isu Gezi Park. Namun
hanya gambar-gambar seperti ini yang diperbesar-besarkan.

Foto menunjukkan para demonstran yang sedang mabuk mengotorkan
rumah ibadat, membawa masuk arak dan meminumnya beramai-ramai secara
sengaja, mereka membawa masuk gadis-gadis dan berzina dikhalayak ramai.
Foto ini tidak pernah wujud sebelum ini sehinggalah tercetus  isu Gezi Park.
 Mengapa media antarabangsa tidak menyiarkan keadaan ini?

Pada 15 Jun 2013, Tayyip telah bertindak menyeru semua rakyat Turki berkumpul bagi menunjukkan kepada dunia apa sebenarnya yang berlaku. Seruan itu telah disambut dengan lautan manusia yang berkumpul di 2 bandar besar iaitu Ankara dan Istanbul. Walaupun dalam cuaca yang sangat panas, mereka tidak berganjak dari perhimpunan. Ini merupakan antara perhimpunan yang teramai dalam sejarah Turki. Dalam ucapan Tayyip. Pertama sekali beliau mencabar:

"Ada siapa-siapa mahu lihat Turki? Adakah media antarabangsa mahu melihat Turki? Nah! inilah gambarnya!" Disambut dengan sorakan rakyat yang hadir.

Beliau mencabar "Media antarabangsa! Boleh kah anda buat liputan disini? Ayuh kita lihat siapa yang berani, BBC! Tangkaplah gambar di sini! CNN! Tangkaplah gambar di sini! Reuters! Tangkaplah gambar di sini!" 

"Ketika kami ingin menuntut keahlian penuh dari kamu (Kesatuan Eropah), kamu abaikan. Sekarang mengapa kamu seperti kepanasan untuk campurtangan dalam isu ini?" Terus disambut oleh rakyat yang semakin bersemangat. 

Media antarabangsa dimalukan, begitu juga reputasi Kemal dari CHP menyebabkan keesokan harinya, media antarabangsa terpaksa berhenti menyiarkan isu Gezi Park lagi. Secara rasminya agenda musuh Tayyip selama 2 minggu berlangsung gagal.

Lautan manusia menghadiri Perhimpunan menghormati negara
sekaligus telah mematikan segala serangan media asing mengenai isu Gezi Park.

Ini baru sedikit dari coretan apa yang berlaku di Turki dalam 10 tahun ini yang, masih banyak yang saya tidak sempat tulis. Selain itu, kalau kita lihat pasca kemenangan AK Parti di Turki, Tayyip amat kurang menggunakan istilah-istilah, atau nama-nama Islam dalam pemerintahannya tetapi nilai-nilai Islamlah yang banyak beliau tonjolkan dalam dasar pemerintahannya. Beliau sangat berbeda jika dibandingkan semasa masih bersama Parti Refah (yang akhirnya parti itu diharamkan) dahulu yang sangat radikal, berfikiran seperti jemaah, cukup lantang menentang sistem sekular, demokrasi sambil menggelar ia merupakan sistem kufur. Namun setelah diguling oleh tentera, kemudian kembali berkuasa pada 2003, Tayyip tidak lagi seperti dahulu. Beliau sudah lebih berhikmah, beliau mula berbaik-baik dengan Amerika Syarikat, mula menuntut supaya Kesatuan Eropah yang dikutuknya dahulu menerima Turki sebagai ahli. Beliau juga tidak  lagi berceramah berapi-api seperti seorang pemimpin Islam yang hanya tahu menyeru: "Ayuh kita buat negara Islam! Kita mesti hancurkan negara kafir!" tetapi hakikatnya hanya mulut berbicara, kerja entah ke mana. Tayyip sudah lebih berstrategi. Ketika itu, ramailah bekas teman-teman beliau ketika masih dalam Parti Refah bersama Dr. Erbakan menyelar tindakan beliau. Kata mereka beliau tidak lagi berpegang dengan syari'at, beliau telah terpesong dari manhaj Islam dan sebagainya. Namun tiada siapa dapat menghidu agenda luar biasa (agenda Islam) yang ingin dibawa oleh Tayyip semasa baru memegang kuasa waima kuasa-kuasa besar dunia sekalipun. Yang hanya tahu agenda Tayyip tidak lain tidak bukan hanyalah gurunya iaitu Dr. Erbakan.

Dr. Erbakan amat arif tentang strategi Tayyip. Baginya, Tayyip akan membina semula struktur Turki sehingga kukuh, kemudian barulah nilai-nilai Islam diserap ke dalam minda rakyat secara perlahan-lahan. Dr. Erbakan tahu hanya Tayyip yang mampu mengelakkan rampasan kuasa berlaku lagi di Turki kerana Tayyip memiliki kepakaran berunding dengan tentera. Dr. Erbakan sanggup membiarkan dirinya dihina sebagai politikus tua yang sudah ketinggalan zaman dengan parti terakhirnya (Saadet Partisi) yang semakin ditinggalkan rakyat hanya semata-mata ingin memberi laluan kepada Tayyip untuk terus mendapat tempat di hati rakyat. Ketika beliau ditanya adakah beliau tidak lagi sayangkan partinya sendiri, beliau menjawab: "Aku lebih sayangkan Islam dan masa depan Turki". Tidak semua rakyat Turki termasuk penyokong Dr. Erbakan tahu tentang hal ini. Sebab itu, ketika saat beliau meninggal dunia pada bulan Februari 2011, Tayyip tidak dapat menahan air mata yang mengalir, beliau sendiri melanggar protokol dengan mengusung jenazah gurunya untuk dikebumikan. Dalam ucapannya beliau menyebut: "Hari ini aku berdiri (sebagai Perdana Menteri) adalah hasil doa seorang guru, Mujahid agung Erbakan. Beliau bukan seorang ketua tetapi pemimpin. Beliau telah mengorbankan dirinya untuk seorang murid (aku) dan melihat Turki yang lebih baik". Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Dr. Erbakan. 

Tayyip dan Abdullah bersama-sama rakyat mengusung jenazah Dr.Erbakan untuk dikebumikan


PALESTIN, SYRIA, ROHINGYA DAN MESIR

Sejak Tayyip mula bersuara tentang isu Palestin, masyarakat Islam dari negara-negara Arab dan Afrika
telah mula berbangga dengan beliau. Beliau dilihat telah campurtangan dalam semua isu-isu kemanusiaan. Di saat pemimpin-pemimpin Arab lain terus membisu, beliau dengan keras membidas tindakan mereka (pemimpin Arab). Beliau telah menentang keras tindakan Presiden Syria, Bashar Al-Asad yang telah bertanggungjawab membunuh hampir 200 ribu orang sehingga kini. Oleh itu, beliau telah membuka pintu seluas-luasnya untuk pelarian Syria masuk ke Turki dan hidup di sini. 

Ketika masyarakat Muslim di Rohingya ditindas dengan zalim tanpa ada pemimpin-pemimpin besar bersuara, beliau telah menghantar isterinya, Emine Erdoğan dan Menteri Luar Turki, Dr Ahmet Davutoğlu
untuk menghantar bantuan kepada mereka. 


Emine bersama Davutoğlu ketika menyampaikan bantuan kepada masyarakat Rohingya yang ditindas

Di Mesir, ketika berlaku rampasan kuasa oleh Pemerintah haram As-Sisi ke atas Presiden yang sah iaitu Dr. Muhammad Mursi, Tayyip antara yang paling awal tidak dapat menerima tindakan tersebut. Beliau mempersoalkan di manakah suara pemimpin barat dan Amerika Syarikat yang selama ini memperjuangkan demokrasi. Mereka begitu bersuara ketika isu Gezi Park, tetapi diam seribu bahasa apabila melibatkan isu Mesir. Perhimpunan besar-besaran terus berlaku di dataran Rabi'ah A'dawiyah. Tayyip telah memperkenalkan simbol jari empat (R4BIA) sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Mesir. Oleh kerana Tayyip begitu tegas dalam isu ini, beberapa bulan yang lalu, kerajaan haram As-Sisi telah menghalau duta Turki ke Mesir sebagai tanda tidak puas hati apabila Tayyip tidak mahu lagi berkerjasama dengan kerajaan haramnya.

Tayyip menunjukkan simbol R4BIA sebagai tanda solidariti
terhadap rakyat Mesir. Simbol ini telah menjadi viral di seluruh dunia

APA SELEPAS 10 TAHUN? ADAKAH TAYYiP MASIH LAYAK DIPUJI?

Hakikatnya, walau banyak mana sekalipun perubahan yang telah Tayyip berjaya tonjolkan, tiada siapa dapat nafikan, masih terdapat banyak cacat cela serta kelemahan dalam agenda dan perubahan yang beliau cuba pamerkan pada dunia selama 10 tahun ini. Ia tidak terlepas dari kritikan, kutukan, tentangan dan kemarahan rakyat. 

Sejak akhir tahun lepas, Kerajaan Tayyip telah mula dipersoalkan kewibawaannya oleh rakyat apabila terpalit dengan isu-isu rasuah dan skandal tertentu. Ia nya bermula pada Disember 2013 apabila polis Turki menahan lebih 50 orang dan menahan 16 orang, termasuk pengurus besar Halkbank dan anak-anak tiga menteri di bawah tuduhan rasuah kerajaan. Walaupun Tayyip telah dipersalahkan duta-duta asing , akhbar-akhbar pro Tayyip pula menuduh bahawa Amerika Syarikat dan Israel yang telah merancang plot ini, penganalisis politik tetap menyifatkan bahawa tangkapan ini ada kaitan perebutan kuasa antara Perdana Menteri dan seorang intelektual antarabangsa iaitu Fethullah Gülen.Tayyip mendakwa bahawa ada komplot-komplot tertentu yang merancang untuk menjatuhkan beliau. Pada 25 Disember Tayyip merombak Kabinetnya ,10 orang menteri digantikan sejam selepas tiga orang menteri (yang didapati tertuduh kerana rasuah oleh anak-anak mereka) meletak jawatan. 



SIAPA GÜLEN? APA ITU HIZMET? BENARKAH WUJUD GÜLEN MOVEMENT?

Tentu ramai sekali orang yang ingin tahu siapakah dia Fethullah Gülen ini atau lebih popular dipanggil oleh rakyat Turki sebagai Hocafendi. Saya tidak tahu ingin mulakan cerita beliau dari mana. Namun tidak mengapa, saya akan cuba jelaskan juga. Beliau ialah seorang sarjana Islam dan pakar Theologi yang telah lama berpengaruh di Turki. Setelah Kerajaan Turki pimpinan Dr.Erbakan digulingkan, beliau telah berpindah (self impose) ke Pennsylvania, Amerika Syarikat. Beliau telah menghasilkan ratusan buku, tulisan, artikel dan lain-lainnya. Saya mungkin tidak sempat untuk menulis sejarah jemaah-jemaah yang wujud di Turki sejak dahulu, namun Gülen juga termasuk dari itu. Tulisan-tulisan Gülen telahpun diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Pada tahun 2008, beliau telah mengungguli 2008 Top 100 Intelectuals Poll bagi kategori pemikir yang paling berpengaruh. Pada tahun lepas pula, beliau telah dinamakan sebagai salah seorang dari 100 orang paling berpengaruh di dunia oleh majalah TIME. Beliau juga telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 500 umat Islam  yang paling berpengaruh oleh Pusat Kajian Islam dan Strategik Di Raja yang berpusat di Amman, Jordan.

Baik, apa pula Hizmet? Hizmet pula bermaksud khidmat, Gülen sama sekali tidak suka jika orang katakan Hizmet sebagai sebuah gerakan atau kumpulan. Baginya Hizmet berkhidmat untuk semua orang lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat dan fahaman politik, senang kata 'Hizmet for all'. Gülen menyatakan bahawa Hizmet sebuah 'organisasi' yang memfokuskan pendidikan sebagai tunjang utama, bebas dari politik. Malah Gülen sering membaca: "Aku berlindung dari kejahatan dan politik". Hizmet telah bermula sekitar tahun 80an sehingga kini. Gülen dan beberapa rakannya mengasaskan Hizmet. Pengaruh Hizmet semakin meluas di serata dunia apabila mereka berjaya membina Institusi-institusi pendidikan seperti Universiti, sekolah, madrasah, pusat tuisyen dan sekolah untuk pelajar persediaan. Selain itu, mereka memiliki hospital, klinik, restoran, syarikat penerbangan dan banyak lagi yang tidak terkira untuk saya sendiri nyatakan. Ahli-ahli Hizmet di seluruh dunia bukan sahaja terdiri dari rakyat biasa, malahan orang-orang kaya dan professional seperti ahli perniagaan, doktor, pengarah syarikat, pemain bola. Tidak ketinggalan, kakitangan awam seperti ahli politik, pegawai kerajaan, polis, pegawai perisikan dan ramai lagi. Mereka memiliki media yang begitu banyak seperti Siaran televisyen, radio dan tentu sekali akhbar.  


Fethullah GÜLEN,
Antara orang yang terawal mengasaskan Hizmet