Sunday 29 March 2015

Kem Kesedaran Minda BADAR 2015

PENDAHULUAN

Program Kem Kesedaran Minda BADAR 2015 telah pun sempurna dijalankan pada 26 hingga 28 Februari 2015 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor. Program ini telah dikelolakan oleh barisan alumni Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) pada tahun 2014. Barisan alumni BADAR seramai 20 orang beserta dengan beberapa orang guru penasihat BADAR telah berkampung selama 3 hari 2 malam di SMKA Melor bagi menjayakan program ini.

OBJEKTIF

1-Memberi kefahaman yang jelas kepada nuqaba’ tentang peranan mereka dalam bentuk            pemikiran yang luas.
2.Memberi pengisian hati dan rohani kepada nuqaba’ selaku pewaris Islam.
3.Melahirkan generasi yang saling berkasih saying dan mempunyai semangat ukhuwah yang tinggi.

SASARAN

Semua Nuqaba’ BADAR 2015

TARIKH

26-28 Februari 2015

TEMPAT

Dewan Al-Ghazali SMKA Melor

ANJURAN

Alumni BADAR 2014

JAWATANKUASA PROGRAM

Penasihat: Puan Hjh Naizan Binti Salleh
Pengarah: Mohamad Hazim Bin Mohd zahari
Pen. Pengarah: Nurul ‘Ain Binti Mohd Razani
Setiausaha: Tuan Najmi Izzat Bin Tuan Maihazam
Bendahari: Ahmad Safri Bin Roslin
Pen. Bendahari: Eqa Mardihah Binti Che Anuar

Kem Komanden: Mohamad Hazim Bin Mohd Zahari
                            Nurul ‘Ain Binti Mohd Razani
Ketua Fasilitator: Muhammad Amir Syafiq Bin Abd Hadi
                             Nur Syafikah Binti Abdullah
Urusetia Pendaftaran: Aliff Luqman Bin Md. Zulkiplee
                                     Nur Adlina Alia Binti Azaman
Urusetia Makanan: Haris Muqri Bin Samsuairi
                                 Afiqah Nadia Binti Daud
Urusetia Peralatan: Wan Mohamad Syamim Bin Wan Syamsuddin
Urusetia Dokumentasi: Wan Ahmad Sharifuddin Bin Wan Shaffee
                                       Fatini Binti Md. Zahari
Urusetia Aturcara Majlis : Nor Syazana Farhanah Binti Kamaruddin

Fasilitator : Muhammad Amir Syafiq Bin Abd Hadi
                    Abdul Rahman Huzaifi Bin Ahmad Fathil
                    Nik Abdul Adzeem Bin Nik Azhar
                    Mohd Hazrul Bin Mohd Addnan
                    Ahmad Fitri Bin Ibrahim
                    Mohd Faiz Bin Mat Nordin
                    Nur Syafikah Binti Abdullah
                    Nur Arifah Binti Zaid
                    Amni Amalin Binti Sam’un
                    Nur Aliya Farhanah Binti Nor Azlan
                    Nur Fadilah Binti Abd Aziz
                    Nur Fathiah Binti Azmi
                   

Pada tarikh 26 haribulan dua 2015, program Kem Kesedaran Minda BADAR 2015 telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor. Program ini dijalankan selama tiga hari dua malam. Pada hari pertama, program dimulakan pendaftaran peserta pada jam 5.00 petang. Setelah menunaikan solat asar secara berjemaah, para peserta diminta untuk mendaftarkan diri di hadapan Dewan Al-Ghazali. Proses pendaftaran berjalan dengan lancar di mana para peserta memberikan komitmen yang baik.

Setelah para peserta mendaftarkan diri, mereka diarahkan untuk memasuki dewan untuk talimat program. Taklimat program diadakan di dalam dewan dengan dikelolakan oleh Kem Komanden, Hazim Zahari. Para peserta diberikan taklimat tentang perjalanan program dan juga peraturan-peraturan sepanjang program. Para peserta juga dikehendaki menyanyikan lagu tema program iaitu lagu Hadapilah dan juga lagu tema BADAR iaitu lagu Langkah Perjuangan. Para peserta telah menyanyikan dengan penuh semangat lagu-lagu tersebut.

Pada jam 7.00 malam, para peserta dikehendaki bergerak ke Musalla As-Syakirin bagi menunaikan solat maghrib dan isyak secara berjemaah. Solat maghrib dan isyak diimamkan oleh guru penasihat yang bertugas iaitu Ustaz Hamzah Bin Ismail.

Pada jam 9.00 malam, para peserta diarahkan untuk ke dewan bagi menjalani slot seterusnya iaitu slot Ice-Breaking. Dalam slot Ice-Breaking, para peserta dikehendaki menjalani dua permainan iaitu permainan Selipar Ukhuwah dan juga Balang Berair. Permainan ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara peserta dan juga fasilitator. Slot Ice-Breaking ini dapat dijalankan dengan baik.


Para peserta gembira menjalani aktiviti Ice-Breaking.



Kem Komanden sedang memberi arahan.

            Slot Ice-Breaking dan juga Team Building telah berakhir pada jam 10.30 malam. Para peserta dikehendaki untuk minum malam bersama-sama di kantin sekolah. Setelah minum malam, para peserta dibenarkan untuk berehat  dan tidur di asrama sekolah.

            Pada hari kedua, program dimulakan dengan aktiviti qiamullail berjemaah di Musalla as-Syakirin. Aktiviti qiamullail telah diimamkan oleh Ustaz Hamzah Bin Ismail. Setelah siap berqiamullail secara berjemaah, para fasilitator dan juga peserta telah menunaikan solat subuh secara berjemaah bersama-sama dengan para pelajar asrama.

            Pada jam 8.00 pagi, para peserta dikehendaki berkumpul di dataran untuk menjalani aktiviti seterusnya iaitu Kembara Ilmu. Para peserta dikehendaki menempuh tujuh perhentian yang setiapnya mempunyai permainan yang mencabar dan berilmiah.






Aktiviti Kembara Ilmu telah berakhir dengan jayanya pada jam 12.30 tengah hari. Semua peserta diberikan masa rehat untuk minum pagi di kantin. Seterusnya para peserta dikehendaki melakukan persiapan untuk solat jumaat bagi lelaki. Bagi peserta perempuan, mereka dikehendaki mengikuti slot srikandi bersama-sama fasilitator perempuan.

Program seterusnya diteruskan pada jam 3.00 petang. Aktiviti seterusnya ialah latihan dalam kumpulan (LDK) yang diadakan di dewan al-Ghazali. Dalam aktiviti ini, para peserta dikehendaki berlakon tentang situasi yang telah diberikan oleh para fasilitator. Aktiviti ini telah diadakan dengan jayanya.

Pada jam 5.30 petang, program diteruskan dengan aktiviti Riadah Tarbawi . Aktiviti ini dilakukan secara berasingan antara peserta lelaki dan perempuan. Aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di samping untuk menyihatkan tubuh badan.





Pada sebelah malam, program diteruskan pada jam 9.00 malam. Aktiviti seterusnya diadakan di dewan al-Ghazali. Dalam aktiviti ini, para peserta telah diberikan satu barang kepada setiap kumpulan. Para peserta dikehendaki mengkaji barang yang diperoleh dan mengkaitkan barang tersebut dengan kehidupan. Aktiviti ini bertujuan untuk melatih pemikiran para peserta untuk lebih terbuka dan menilai sesuatu dengan lebih mendalam. Syukur kerana aktiviti ini dapat dijalankan dengan sebaiknya dan para peserta memberikan respons yang positif.




Pada hari ketiga,  setelah menunaikan solat subuh secara berjemaah, aktiviti diteruskan dengan aktiviti seterusnya iaitu latihan dalam kumpulan ketiga. Dalam aktiviti ini, para peserta telah diberikan seutas tali panjang kepada setiap kumpulan. Setiap kumpulan perlu mengikat hujung tali tersebut dengan satu pen sahaja. Para peserta perlu membawa pen yang diikat tersebut dengan menggunakan tali yang diberikan tadi. Tali tersebut perlu diletakkan dalam mulut dan di bawa ke dataran untuk diletakkan dalam botol.

Aktiviti LDK 3 tamat pada 10.00 pagi. Aktiviti diteruskan lagi dengan slot Sharing Moment di mana dikendalikan oleh kem komanden sendiri. Slot ini memerlukan para peserta meluahkan segala perasaan serta input yang diperoleh sepanjang menyertai program ini. Semua peserta telah menunjukkan komitmen yang baik dan juga memberikan respons positif terhadap setiap aktiviti yang dijalankan.

Pada jam 11.00 pagi, Majlis Penutupan telah diadakan di dalam dewan al-Ghazali. Majlis ini dihadiri oleh ketua guru penasihat BADAR sendiri iaitu Ustazah Hjh Naizan Binti Salleh. Oleh kerana Puan Pengetua, Ustazah Wan Mahiran Binti Salleh tidak dapat menghadirkan diri kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, maka ustazah Naizan telah menggantikan tempat beliau untuk merasmikan majlis penutupan tersebut. Dalam ucapan tersebut, ustazah Naizan meminta para nuqaba’ yang menyertai program ini supaya mengambil sebanyak mungkin ilmu yang diperoleh dan gunakan dalam usrah dan juga kehidupan seharian. Beliau juga meminta supaya para nuqaba’ sentiasa merujuk dan bertanya kepada para alumni BADAR SMKA Melor tentang masalah dan cara penyelesaian serta pengurusan usrah dan sebagainya.

Setelah merasmikan majlis penutupan, ustazah Naizan telah menyampaikan hadiah-hadiah kepada para peserta program. Aturcara penyampaian hadiah dapat dijalankan dengan lancer sekali.



                       Ustazah Naizan menyampaikan hadiah kepada para peserta perempuan.


Ustazah juga menyampaikan hadiah kepada para peserta lelaki.


Sesi penggambaran telah diadakan setelah acara penyampaian hadiah diadakan. Urusetia dokumentasi iaitu Sharifuddin dan Fatini Zahari telah ditugaskan untuk menyusun atur para pelajar. Sesi penggambaran telah diadakan dengan jaya sekali. Para peserta dan juga fasilitator gembira kerana melalui gambar juga mampu mengeratkan hubungan silaturrahim antara mereka.



Semua peserta dan fasilitator bergambar kenangan bersama-sama.

Setelah tamat sesi penggambaran, para peserta dan juga fasilitator bersalam-salaman sebelum pulang. Kelihatan ada peserta yang menangis kerana sedih untuk berpisah dengan fasilitator yang sudah meninggalkan sekolah. Kelihatan utuh semangat ukhuwah antara mereka yang telah terbina sekian lama sebelum ini. Setelah itu majlis bersurai.


PENUTUP

Adalah diharapkan dengan program Kem Kesedaran Minda BADAR yang diadakan selama tiga hari dua malam ini dapat memberikan manfaat yang banyak kepada para peserta dan juga fasilitator dalam menghadapi cabaran yang kian mendatang. Diharapkan juga dengan terlaksananya program ini dapat melunaskan sedikit amanah yang telah diberikan kepada para Alumni BADAR 2014 yang menerajui BADAR pada tahun lepas. Semoga program ini dapat diteruskan lagi oleh para alumni akan dating dan dilaksanakan dengan baik. InsyaAllah.


Tuesday 24 March 2015

Mengapa Kita Dipilih?


"Kenapa aku? Aku tak layak pegang jawatan ni!"

"Dah takde orang lain ke nak jadi naqib/naqibah? Kenapa aku jugak yang diambil?"

"Aku rasa aku perlu tumpukan kepada pelajaran. Aku perlu keluar daripada BADAR."


Dialog ini biasa kita terdengar daripada corong mulut seseorang yang memegang jawatan sebagai seorang naqib atau naqibat di sekolah. Mungkin ada masalah. Mungkin juga terlalu banyak ujian yang ditimpa mereka sehingga mereka rasakan yang mereka tak perlu untuk memegang jawatan tersebut dan meneruskannya. Mungkin juga nilai-nilai agama dalam diri mereka semakin pudar kerana tidak berusaha untuk menggilapnya dengan ibadah kepadaNya.

Siapa tahu? Pelbagai masalah yang menimpa kita. Mungkin golongan seperti itu, mempunyai masalah yang sedemikian rupa. Menjadikan mereka lemah dan ingin mengambil jalan mudah untuk keluar daripada sebarang masalah.

Kita perlu tahu. Mengapa kita dipilih?

Firman Allah swt yang bermaksud,

"Dan tidak Aku jadikan manusia itu melainkan untuk menjadi khalifah atas muka bumi ini."

                                                                                           (Surah Al-Baqarah : 30)

Allah swt menjadikan kita di dunia ini adalah untuk mentadbir alam yang Dia sendiri yang menciptanya. Di situ kita dapat lihat yang Allah swt menaruh kepercayaan kepada kita untuk mentadbir dunia ini. Maka, mengapa kita ingin mensia-siakan kepercayaan yang Allah berikan kepada kita?

Tugas sebagai seorang khalifah itu ialah amanah yang besar kepada kita sebagai hambaNya. Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh supaya bumi yang kita pijak dan langit yang kita megah ini sentiasa disinari dengan cahaya Islam. Jika bukan kita yang mengusahakannya, maka siapa lagi? Siapa lagi yang menginginkan cahaya Islam tersebar meluas? Adakah kita ingin membiarkan jahiliah terus meraja? Memamah pemikiran kita sedikit demi sedikit daripada kefahaman agamaNya?

Kita perlu faham. Mengapa kita dipilih?

Suasana di alam persekolahan tidak sama dengan suasana masyarakat luar. Hidup dalam masyarakat luar sangat banyak ujian dan juga dugaan. Ujian dan dugaan yang memerlukan kita jalani latihan. Maka kita perlu memahami yang tugas sebagai seorang naqib atau naqibat di sekolah merupakan hanya satu jawatan. Jawatan untuk kita berlatih bagi menghadapi cabaran dalam masyarakat apabila kita keluar kelak.

Kita perlu biasakan diri kita dengan hidup dalam berorganisasi. Kerana dalam organisasi pasti akan ada masalah. Tipulah jika saya katakan yang sesuatu organisasi itu haluannya sentiasa mudah tanpa cabaran dan masalah. Setiap organisasi pasti menghadapi perkara tersebut. Cuma, pengurusan dalam organisasi tersebut yang menentukan haluan mereka mudah atau sebaliknya.

Ujian yang dihadapi dalam organisasi, ujian yang dihadapi organisasi terhadap masyarakat sekolah, ujian kita yang merupakan ahli kepada organisasi. Semuanya adalah suatu latihan untuk kita bagi menghadapi cabaran dalam masyarakat kelak.

Ujian yang dihadapi dalam BADAR, ujian yang dihadapi BADAR terhadap masyarakat sekolah, ujian kita yang merupakan ahli BADAR. Semuanya adalah suatu latihan untuk kita sebenarnya.

Latihan untuk menjadikan kita seorang muslim yang ohsem. Pada pandangan ibu bapa, pada pandangan rakan-rakan, pada pandangan para guru, pada pandangan masyarakat, dan penting sekali pada pandangan Allah swt.

Firman Allah swt yang bermaksud,

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam syurga sedangkan kamu belum diuji seperti mana orang-orang terdahulu sebelum kamu?"

                                                                                                 (Surah Al-Baqarah : 214)

Jangan kita leka. Jangan kita lupa. Dengan kesenangan yang ada. 

Kesenangan tidak sentiasa datang. Kadang ia boleh juga pergi.

Air yang sedikit berada dalam bekas jika dimasukkan susu dalam kuantiti sedikit sudah cukup untuk memaniskan air tersebut. Namun jika air itu tiba-tiba ditambah dengan lebih banyak, adakah susu itu masih lagi manis? Sudah tentu tidak.

Maka, tambahlah susu itu lagi. Sehingga sentiasa manis. Seperti rupa dan namanya.

Hakikat yang perlu kita fahami.

Naqib atau naqibah itu hanyalah jawatan. Jawatan yang kita pegang di sekolah. Kita keluar sekolah maka tamatlah jawatan yang dipegang itu. Adat katanya. Namun, bukan itu yang kita inginkan. Kita perlu menjadikan jawatan tersebut sebagai satu medan untuk kita menyebarkan kefahaman Islam kepada masyarakat sekolah. Kita juga boleh menjadikan jawatan tersebut sebagai asbab untuk sentiasa berakhlak mulia dan berdisiplin di sekolah yang mana asbab itu menjadikan kita terbiasa dengan peribadi mulia yang kita praktikkan.

Oleh itu, kembalilah berfikir. Tugas ini adalah untuk kita juga. Tugas ini juga adalah untuk membantu agama Allah swt. Apabila kita membantu agama Allah, maka Allah akan membantu kita.

Istiqamah..Jati diri...
Teruskan risalah nabi...
Mulia, hidup dan mati...
Pejuang takkan berhenti...

                                                                                                     


Wednesday 18 March 2015

6 sebab kenapa KPOP haram?



Bismillah.

Insyallah, kali ini, saya akan ulas secara serius, kenapa KPOP haram. Sebelum saya nak ulas dengan lebih panjang tentang isu kpop ni, saya nak “pangkah” sikit golongan-golongan yang takde ‘common sense’ dan langsung tak pandai fikir apa yang sepatutnya perlu di fikir.

Iaitu, golongan yang selalu “membandingkan satu dosa dengan dosa yang lain untuk mempertahankan dosa.” Mereka suka “membandingkan satu dosa dengan dosa yang lain” supaya orang menganggap bahawa dosa yang dia buat tu tak patut di tegur, dan dosa yang lain lebih berhak di tegur, lantas, mereka pun terus buat dosa.

Contohnya:

“Apahal kau asyik tegur kpop je? Habis tu, lagu melayu yang tak tutup aurat peluk cium bagai kau tak tegur??”

“Apahal kau asyik tegur perempuan yang tudung labuh tapi ikhtilat je? Habis tu, perempuan yang tak pakai tudung siap couple bagai tu kau tak nak tegur ke?!”

“Isu sentuh anjing kau kecoh, apasal isu sentuh bukan mahram kau tak kecoh?!”

Banyak lagi sebenarnya. Sebenarnya, orang macam ni, mereka sebenarnya kelakar. Sebenranya,yang dosa itu dosa. Jangan pertahankan dosa dengan membandingkan ia dengan dosa yang lain.

So, kembali kepada TOPIK. Saya nak nyatakan 6 sebab kenapa KPOP haram. Tapi, di sebabkan ramai tanya:

“Takkan kpop je? Habis lagu Justin bieber, Lagu Katy Perry blab la bla lagu melayu blab la takkan tak haram?”

Maka, bagi meraikan semua orang, berikut adalah HIBURAN yang HARAM, tak kisahlah melayu ke korea ke bangla ke jepun ke inggeris ke arab ke, jika ada unsur ini, maka HARAMLAH IA.

1) Unsur cinta.
2) Unsur mempromosi pergaulan bebas dan ikhtilat.
3) Unsur aurat.
4) Unsur Seks sikit atau banyak.
5) Unsur Syirik.
6) Unsur menghina islam.
7) Unsur mengagungkan arak.
8) Dan segala unsur negative yang boleh mempengaruhi orang yang melihatnya.

Ada salah satu dari unsur ni, maka, haram. Ingat, bukan semua hiburan tu halal. Ada hiburan yang haram! Seperti mana bukan semua makanan tu halal. Ada makanan yang haram! Begitu juga minuman, bukan semua minuman tu halal, ada minuman yang haram!

Saya KHUSUSKAN kpop sebab kpop/korea 1000 kali ganda lebih menular di kalangan mahasiswa berbanding yang lain. Dan sape yang rasional, dia akan boleh kaitkan dengan semua hiburan yang sama jenis dengannya tak kiralah hindustan ke, bangla ke, melayu ke dan lain-lain...

Maka, yang haram, jauhilah!

MENGAPA KPOP, DRAMA KOREA DAN SEANGKATAN DENGANNYA HARAM?

Tanpa membuang masa, saya nak senaraikan dalil dari Alquran dan hadith, serta kata-kata Ulama’ sebagai hujah. Buka mati dan hati, ketepikan nafsu dan ego, hilangkan kesombongan dan takabbur, baca, dan, muhasabahlah!

SEBAB PERTAMA: DI DALAMNYA ADA UNSUR HARAM.

Di dalam lagu-lagu kpop, tak kisahla band lelaki atau perempuan, di dalamnya ada unsur haram. Maka, hukumnya haram.

1) Haram pada penampilan mereka!

Band perempuan, pakai seksi gila bapak, pastu menari macam apa bajet cute, terlompat-lompat bagai. Sampai masuk surat khabar, seorang penari kpop perempuan perut sneak sebab time buat show menari-nari, tergelincir, jatuh, pastu sakit, senak perut, masuk hospital. Apa ke gerun. DAN, band lelaki pula, dengan rambut di “colour”kan, ada yang pakai rambut palsu dan sebagainya. Saya malas nak ulas, rasa semua dah tahu, 90% artis korea telah membuat pembedahan plastik.

Soalan saya:

“Adakah mengubah wajah itu Allah redha? Adakah pakai rambut palsu itu Allah redha? Adakah colourkan rambut itu Allah redha? Adakah pakai seksi-seksi tu Allah redha? Adakah menari berjoget bagai tu Allah redha? Adakah itu semua bukan maksiat??!”

Jangan bagai alasan:

“Alah, mereka kafir, apa salahnya??”

Kalau macam tu, tak salah la kalau orang kafir berzina, membunuh, merompak, rogol orang, minum arak bagai? Sebab mereka kafir? Mana ada! Orang kafir ke orang islam ke, jika dia buat benda yang Allah murka, kita kena tegur! Hatta, ulama' menyebut:

"Barangsiapa yang redha dengan kekafiran, maka dia juga menjadi kafir!".

Hati-hati beb.

Kesannya? Bila ramai tengok kpop drama korea bagai, maka:

a) Ramai wanita islam yang rasa MALU dengan wajah mereka, mereka rasa diri mereka tak cantik kerana mereka bandingkan diri mereka dengan wanita-wanita korea. Lantas, di sebabkan itu, mereka make up muka mereka, pakai seksi-seksi, semata-mata untuk kelihatan cantik. Yang muka tak cantik dan buruk, mereka sedih, rasa down, tiada keyakinan diri, da nada yang bunuh diri. Padahal Allah tak pandang pun wajah. Dan actually, manusia pun tak pandang sangat wajah ni.

Berapa banyak lelaki tak hensem dapat kahwin dengan perempuan cantik. Berapa ramai perempuan tak cantik dapat kahwin dengan laki hensem. Berapa banyak kes laki hensem kahwin dengan perempuan cantik gila, tapi cerai. Kes cerai pun setahun 27,000. Means, setiap 1 jam, 3 orang bercerai.

b) Ramai lelaki yang terikut-ikut fashion rambut, fashion baju pakai ketat-ketat, warnakan rambut, pakai rambut palsu semata-mata nak Nampak macho, padahal tak macho pun.  Banyak lagi kesannya.


2) Haram pada liriknya.

90% Lirik dalam lagu-lagu kpop adalah berunsur cinta, mempromosi seks seperti “kiss”, “hug” dan sebagainya, mempromosi  pergaulan bebas, mempromosi couple dan sebagainya. Walaupun korang dengar tu korang tak faham, tapi, tak faham tu lah yang BAHAYA bila dengar. Sekali dia kutuk Allah atau kutuk nabi macamana?

Kenapa tak boleh dengar lirik-lirik yang ada unsur haram ni?

Kerana, apa yang kita dengar, benda tu yang akan masuk dalam FIKIRAN. Bila kita dah selalu fikir benda tu, ia akan meresap dalam HATI. Bila dah meresap dalam hati, maka ia akan membuahkan AMAL.

Contoh, kalau hari-hari kita dengar pasal cinta, cinta, cinta, cinta, maka, kita akan mula rasa nak bercinta dan tak rasa bahawa bercinta tu salah. Dan akhirnya, kita pun startlah cari couple, dan rasa malu kalau tak couple.

Kalau hari-hari dengar pasal seks, seks, seks, cium, cium, cium, maka, kita akan terasa nak buat benda tu. Sebab tu, cuba korang interview budak-budak yang terlanjur. Cuba tanya dia, minat kpop tak? Minat drama korea tak? Nescaya diorang akan kata, diorang minat. DAN, itulah PUNCA mereka rasa teringin nak berzina.

Sebab tu lah, Ustaz Nouman Ali Khan ada sebut bahawa:

“Lagu-lagu yang ada unsur haram adalah pornografi bagi telinga…”

Maka, kesan bila kita banyak dengar lagu yang liriknya macam ni, sampai satu tahap, kita akan rasa NORMAL bila buat benda-benda dosa. Kita tak rasa couple tu salah. Kita tak rasa bercinta sebelum nikah tu salah. Kita tak rasa apa-apa bila tengok orang buat maksiat couple depan amta kita. Kita anggap benda tu semua NORMAL dan takde apa hal.

Ketahuilah, merasa NORMAL dengan dosa adalah tanda hati rosak, hancur lebur, dan berkecai.

3) Haram pada official videonya.

Mustahil kalau korang kata korang dengar kpop, tapi tak pernah tengok official video dia. Kalau korang tengok official video dia, dalam tu kan banyak pergaulan bebas? Laki pegang perempuan, aurat gila bapak, cium pipi, menari sini sana. Tak ke haram?

So, ini semua adalah sebab pertama, iaitu, kpop haram kerana di dalamnya ada unsur haram. Jom, pergi ke point kedua.

***

SEBAB KEDUA: TAK CEGAH MUNGKAR.

Sebelum saya nak hurai sebab kedua ni, saya nak korang semua bukak mata dan baca hadith ni 27 kali sampai faham. Baca, baca!

عن أبي سعيد الخدري قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعف الإيمان

( رواه مسلم )

Dari Abu Said Alkhudri meriwayatkan bahawa, nabi saw bersabda: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan TANGAN. Jika tak mampu, maka ubahlah dengan LISAN. Jika tidak mampu, maka ubahlah dengan HATI, dan itu (ubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman…”

(Hadith riwayat Muslim)

Apa yang korang faham dari hadith kat atas?

Biar saya hurai satu persatu hadith ni bagi korang faham.

1) Bila kita Nampak maksiat depan mata, bila kita Nampak benda haram yang orang buat, tak kisahla orang tu kafir ke islam ke, maka, kita WAJIB TEGUR. Wajib! Sekurang-kurangnya kalau tak mampu, kita kena tegur dengan HATI.

2) Apakah yang di maksudkan dengan “ubahlah dengan hati”?

Ubah dengan hati itu ada 3:

a) Benci maksiat tersebut.
b) Jauhi maksiat tersebut.
c) Berazam untuk ubah maksiat tersebut jika kita mampu.

3) Bermakna, jika kita Nampak satu maksiat, kita tak rasa apa-apa, tak rasa benci, kita tak jauhi, means, kita takde iman! Kerana, mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman!

So, back to the point dengan topic kita. Bila kita tengok kpop, kita tengok benda-benda haram yang mereka buat, pakaian mereka, lirik mereka, pergi konsert mereka, tengok drama, tengok mereka pegang-pegang tangan dan cium, siap nangis, siap ketagih, lepas satu drama, next drama sampai berpuluh drama tengok, berates episode khatam, ADAKAH KITA ADA IMAN??!!

Takkan tak rasa apa-apa bila tengok maksiat yang mereka buat? Siap kita jadikan hiburan lagi tu? Apakah ini semua?!

Sepatutnya, kalau kita ada iman, bila kita “ter”tengok kpop or drama bagai, kita kena rasa benci, kemudian kita jauhi, dan kita berazam untuk nak ubah mereka jika kita mampu. Contohnya, tengok Lee Min Ho berlakon. Kita kena rasa benci dengan maksiat tu, kita kena jauhi benda tu, dan kita kena berazam untuk tegur Lee Min Ho dan dakwah dia bila kita mampu nanti.

Jika tidak, kita di kira tiada iman, kerana selamah-lemah iman adalah mencegah dengan hati!

Clear? Jelas? Faham? Terbaik…

****

SEBAB KETIGA: TAK TUNDUK PANDANGAN

Okay. Sebab ketiga ni, saya nak bagi ayat quran sikit. Sebab ada orang kalau kita tak bagi ayat quran, dia tak nak terima teguran kita. So, saya bagi ayat quran, fahami. Kalau boleh hafal, hafal!


‏‏قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

‏النور‏:‏ 30-31

“Katakanlah kepada LELAKI beriman, TUNDUKKANLAH PANDANGAN mereka, dan peliharalah kemaluan mereka. Itu lebih menyucikan mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang mereka lakukan. Dan katakanlah kepada WANITA beriman, TUNDUKKANLAH PANDANGAN mereka, dan peliharalah kemaluan mereka, dan janganlah memperlihatkan perhiasan mereka kecuali kepada yang biasa (yang bukan aurat)…”

(Annur: 30-31)

Wahai kawan, bila kita tengok ayat ni, Allah bukan suruh lelaki je tunduk pandangan. Tapi, perempuan pun kena tunduk pandangan beb! Perempuan pun kena tunduk pandangan!

Tapi, hari ni, bila lelaki usha perempuan, bila lelaki tengok video lucah, bila lelaki tengok official video Katy Perry bagai, bila lelaki letak profile picture perempuan kat FB dia, komfem lelaki tu akan di pandang MIANG, tak malu, nafsu tinggi dan sebagainya.

Tapi, bila perempuan tengok artis korea, tengok justib bieber tak pakai baju, siap like dan share, tengok One Direction, pastu share-share gambar tu, siap ada yang letak gambar artis lelaki kesayangan mereka kat wallpaper henset dan sebagainya, tak siapa anggap benda tu salah! Tapi, kalau kita relatekan balik dengan lekaki tadi, seperti mana lelaki tu akan di anggap miang kerana tak tunduk pandangan, macam tu juga perempuan di anggap miang, nafsu tingga tak malu bila mereka usha lelaki!

Ingat video lucah je ke haram? Ingat nak tunggu naik syahwat baru haram? Sejak bila syarat haram ialah kena naik syahwat?

Kalau macam tu, bila kita tegur kawan kita yang selalu usha, bila kita tegur, nanti dia jawab:

“Weh, apa salahnya? Aku tak naik syahwat beb!!”

Apa kita nak jawab?

Sebab tu, islam ni cantik. Dia cegah dari awal. Kalau tak, timbullah golongan-golongan yang menggunakan alasan “tak naik syahwat” untuk memuaskan nafsu syahawat mereka.

****

SEBAB KEEMPAT: SUPPORT MAKSIAT

Bila kita tengok video kpop or drama korea dan yang seangkatan dengannya, maka, secara tak langsung, dan secara tak sedar, kita dah SUPPORT maksiat yang mereka lakukan. Sekali tekan kat youtube, views video tu akan meningkat, bila views meningkat, mereka akan popular dan dapat duit. Tu belum kita kalau LIKE mereka kat Facebook, follow mereka di twitter dan instagram.

Lagi pelik, siap beli album artist u, beli DVD drama tu, beli kat itunes. Kemudian, duit untung album semua tu, artis-artis tu akan meneruskan maksiat mereka denganrasa bangga di sebabkan ada orang support. Lagi lagi pelik tahap kritikal, pergi konsert mereka, bayar berates-ratus ringgit!

Apakah semua ini?!

Allah ada sebut banyak dalam quran, betapa Allah MURKA bila kita support dan REDHA dengan maksiat yang mereka lakukan. Bacalah, baca!

وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
هود:113

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim (yang melakukan maksiat) yang akan menyebabkan kamu masuk neraka!”
(Hud ayat 113)

قَالَ رَبِّ بِمَا أَنْعَمْتَ عَلَيَّ فَلَنْ أَكُونَ ظَهِيراً لِلْمُجْرِمِينَ

[القصص:17]

“Musa berkata: ‘Ya tuhanku, demi nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, aku sekali-kali tidak akan menjadi PENOLONG bagi orang-orang yang melakukan dosa!!”
(Alqasas ayat 17)

Banyak lagi ayat. Nak kata, bila kita support, bila kita dengar, tengok, pergi beli album, pergi konsert, sebenarnya ia menandakan kita redha dengan maksiat yang dia lakukan, sekaligus kita telah MENOLONG mereka untuk meneruskan dosa!

Ingat ini dosa kecil? Ingat ini dosa kecil ke wahai kawan?

Ingatlah kata-kata ini:

“Apabila kita REDHA dengan maksiat yang di lakukan oleh orang lain, itu juga merupakan satu maksiat…”

***

SEBAB KELIMA: KITA BERSAMA DENGAN ORANG YANG KITA CINTAI

Seperti biasa, sebelum saya nak ulas dengan lebih lanjut, hayatilah hadis nabi. Korang kan kata korang cinta nabi, so, hayatilah hadis nabi dan amalkan. Kalau cinta nabi la…

أنت مع من أحببت

“Engkau bersama orang yang engkau cintai (di akhirat kelak)”.
(Hadis riwayat Muslim)

Jika kita cinta nabi, kita akan bersama nabi. Jika kita cinta Lee Min Ho, atau artis EXO, SNSD bagai, kita akan bersama diorang kat akhirat nanti. Kalau diorang masuk neraka, kita akan bersama mereka. Tapi jika cinta nabi, cinta ulama’, cinta orang soleh, kita akan bersama mereka di akhirat kelak.

Ingat, cinta ni kena ada bukti. Orang yang cinta rasul, takkan cinta artis kpop bagai.

***

SEBAB KEENAM:  LALAI DARI AGAMA

Bab ni best. Ramai yang tengok drama korea jepun bagi, or dengar lagu-lagu yang ada usnur haram semua tu, bila kena tegur, depa akan jawab:

“Apa salahnya? Aku tak lebih-lebih. Aku tak lalai! Aku masih solat dan baca quran…”

“Ala. Aku bukan lebih-lebih pun. Walaupun aku tengok runningman setiap hari, aku still komit ikut usrah, katibah daurah semua aku pergi. Aku tak lalai!”

Jawapan saya kepada orang yang macam ni ialah:

“Korang penipu! Penipu besar! Korang sebenarnya lalai! Bohong!”

Kenapa saya kata korang penipu?

Korang kata koang tak lalai dari agama? Apa korang ingat agama ni solat sahaja ke? Soalan saya:

1) Berapa juzuk quran kau dah hafal? Kau baca quran 1 juz sehari ke tak? Bagi can sikit, berapa kali kau dah khatam quran? Bagi can lagi, kau baca quran lancar ke  tak? Ke baca masih tersekat? Kenapa korang tak guna masa berjam-jam korang tengok korea bagai tu untuk kuasai quran??

2) Solat korang amacam? Full 5 waktu berjemaah kat surau (bagi laki) dan awal waktu (bagi wanita)? Jangan cakap kau solat tak full. Agak-agakla. Rukun islam kot. Belum masuk bab solat sunat. Qiamullail, tahajud solat taubat semua korang buat hari-hari tak? Ke dah bertahun tak solat tahajud? Pergh…Kalau korang guna masa berjam-jam tu untuk solat, kan bagus?

3) Kitab apa yang korang dah habis baca? Buku sirah apa yang korang dah habis baca? Kitab sirah raheeq makhtum dah baca? Kitab fiqh sirah Albuti dah habis baca? Kitab sirah duru wa ibar dah habis baca? Kat cinta nabi, kenapa sirah pun tak baca? Belum masuk kitab dakwah. Dah baca almuntolaq, dah baca fiqh dakwah, dah baca majmuat rasail blab la bla?? Kalau korang guna masa berjam-jam tengok korea bagai tu untuk baca buku, komfem korang dah alim dah.

4) Exam korang skor tak? SPM berapa A dapat? STAM mumtaz ke tak? Kat universti, dapat 3 pointer ke atas tak? Lepas tu tak puas hati dengan PTPTN bagai padahal korang bukan belajar betul-betul pun. Kalau korang guna masa berjam-jam tengok korea tu untuk belajar, komfem korang jadi genius.

5) Dakwah dan tarbiah buat tak? Dah berapa ramai orang berubah di sebabkan kau? Ke sorang pun takde? Kalau korang guna masa berjam-jam tengok movie semua tu untuk dakwah tarbiah, mesti kau dapat hidupkan hati ramai orang!

Tapi, persoalannya, adakah kita buat semua benda tu? Kita tak buat! Kenapa kita tak buat? Sebab kita LALAI! So, jangan nak menipu diri sendiri!

***


PENUTUP

Beginilah..

Kepada semua pencinta, peminat dan penyokong KPOP, drama Korea Jepun, Melayu, Indonesia, Cina, Tamil, Siberia, Eskimo, Arab Bersekutu, hatta drama Alien workshop sekalipun kalau ada.

Kami nak tanya korang.

Apa rujukan hidup korang?

Kalau rujukan korang al Quran dan as Sunnah, ok kita sama.

Disebabkan rujukan hidup kita sama, saya nak tanya korang sekali lagi.

Bagi kami 5 hujah kalau comel berserta dalil kenapa KPOP, drama-drama semua sekali, dan semua yang berkaitan dengannya, korang PERTAHANKAN? Sebab kami assume, kalau korang pertahankan, maksudnya korang nak kata bahawa ia adalah HARUS, boleh tengok dan mungkin boleh bagi manfaat pada umat Islam.

Korang boleh bagi 5 hujah kukuh dan dalil, kami akan DELETE semua post kami tentang kpop, dan tarik balik statement2 kami.

Kita berprinsip atas nama kebenaran. Kalau kami salah, kami akan tarik balik walaupun orang kata kami jilat ludah sendiri. Peduli apa, dah kami salah. Akui je la, buat apa kami nak pertahankan kesalahan kami.


Dan kami minta dalil bukan sebab kami pandai or bajet bagus, tapi inilah PRINSIP seorang MUSLIM.
Saya dah berikan 6 dalil untuk menguatkan HUJAH saya mengatakan KPOP, drama, movie bagai yang ada unsur haram tak kisahla bangsa apa sekali pun, sebagai HARAM. Saya dah berikan hujah.

Saya yakin. Dakwah ini, apabila kita berterus-terang, maka akan ada 3 kelompok:

1) Orang yang terima dan berubah
2) Orang yang tak terima dan menentang
3) Orang yang tak rasa apa-apa.

Kerana itu, saya harap, moga kalian semua berada di dalam golongan yang pertama. Dan, kepada yang menentang, sila berikan dalil dari ayat quran dan hadis untuk mempertahankan apa yang korang buat.

Ingat, agama ni bukan ikut akal, tapi wahyu.

Akhir sekali, saya yakin, semua orang nak berubah. Insyallah, ada masa, saya akan kongsikan bagaimana cara nak tinggalkan ketagihan mendengar lagu-lagu yang ada unsur haram dan juga cara nak tinggalkan ketagihan drama, movie, anime dan juga video lucah.

Moga bermanfaat, dan, moga Allah ampunkan kita semua!

Jika Umar Alkhattab pun boleh berubah, tak mustahil, kpopers juga boleh berubah. Saya yakin dan percaya, hidayah Allah itu boleh datang kepada siapa-siapa sahaja. Dan, Allah boleh tarik hidayahNya dari siapa-siapa yang Dia nak..

Wallahua’lam.